Pemuda PAS Sabah lulus usul sertai PRN

Kamran Muhammad Bahron
- Advertisement -

PAPAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah meluluskan usul menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-17 yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Kamran Muhammad Bahron berkata, usul itu diterima bagi menyahut seruan tema ucaptama ‘Pemuda Mesti Menang pada Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri ke-37, kelmarin.

Menurutnya, usia PAS Sabah sudah menjangkau 38 tahun sejak ditubuhkan pada 14 Jun 1986 dan masih belum memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya.

Ujarnya, menyedari keupayaan PAS yang semakin diterima oleh masyarakat di negeri Sabah khususnya melalui penubuhan cawangan, pertambahan ahli yang signifikan, pendaftaran orang ramai ke institusi pendidikan milik PAS dan pelbagai program kebajikan yang dekat dengan masyarakat, membuktikan PAS mampu bertanding pada PRN kali ini.

“Jumlah pengundi muda di Sabah pada PRU15 lalu menunjukkan bahawa 52.6 peratus (888,094 orang) merupakan pengundi muda yang berumur di bawah 40 tahun dan lebih daripada 51 peratus adalah lelaki.

“Hal ini menunjukkan Pemuda PAS Sabah mampu menghantar calon yang berpotensi untuk bertanding pada PRN kali ini, kerana sebahagian besar pengundi adalah dari kalangan pemuda,” ujarnya sewaktu ditemui di sini.

Tambahnya, melalui usul itu, Pemuda PAS negeri bersedia menawarkan 30 peratus calon daripada dewan itu kepada Perhubungan PAS negeri untuk bertanding dalam PRN kali ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -