PAS giat gerak kerja tawan Parlimen Jempol PRU16

- Advertisement -

JEMPOL: Usaha dan gerak kerja yang bersungguh-sungguh akan dilakukan bagi menawan Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan datang.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, pihaknya kini sedang menggiatkan usaha dengan memastikan markaz-markaz bagi setiap DUN digerakkan segera untuk tujuan itu.

“Allah kurniakan kita dengan kemenangan di DUN Serting dan kita cuba nak pertahankan dan kita nak ambil bukan hanya DUN Serting semata-mata, PRU16 akan datang kita cuba nak ambil Parlimen Jempol, insya-Allah. Doakan,” ujarnya.

Kata Ustaz Fairuz, perkara itu menuntut agar semua jentera bekerja secara menyeluruh di keseluruhan DUN yang berada dalam Parlimen tersebut.

“Hari ini kita ada Serting, hanya kawasan Serting satu ni saja. Tetapi kalau kita nak bertanding di Parlimen, kena bergerak ke seluruh kawasan, Sertingnya, Palongnya, Jeram Padangnya dan juga Bahau. 

“Jadi kita cuba insya-Allah. Ini saya sebutkan dulu. Pasti tak pasti hanya Allah yang menentukan, namun cita-cita kita insya-Allah ada,” katanya yang juga merupakan ADUN Serting dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan ucapan alu-aluan sewaktu majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Jempol yang berlangsung di Muasasah Darul Su’ada, di sini kelmarin.

Katanya, mesyuarat agung pada kali ini telah memilih tema ‘Perkukuhkan Tanzim, Pertahankan Kemenangan’.

“Tanzim merupakan organisasi kita inilah. Kita insya-allah dari semasa ke semasa kita bukan nak mereka yang hebat ataupun yang terbaik, tetapi cuba untuk menjadi orang yang hebat dan juga orang yang baik, insya-Allah.

“Dengan itu kita perlu perkukuhkan organisasi kita, tanzim kita ini sama ada di peringkat Kawasan, begitu juga tuan-tuan di peringkat Cawangan untuk kita mengemaskini kerana kita adalah ‘government in waiting’,” katanya.

Tambahnya, PAS kawasan harus bersedia untuk menjadi kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat dalam PRU16 nanti.

“Perkukuhkan organisasi di semua peringkat termasuk Cawangan dengan berjumpa selalu dengan ahli-ahli. Antaranya (adakan) usrah, pastikan tarbiah kita berjalan dengan baik.

“Itu antara usaha kita nak perkukuhkan tanzim kita, insya-Allah. Seterusnya kita pertahankan kemenangan kita insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -