MB Kedah terima kunjungan balas delegasi HNAG

Ke arah realisasi pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menerima kunjungan hormat oleh delegasi Henan Airport Group (HNAG) dari Wilayah Henan, China yang berlangsung di sebuah hotel, di sini semalam.

- Advertisement -

Pertemuan itu antara lain untuk memantapkan kolaborasi ke arah merealisasikan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bersama KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd (KXP AirportCity).

HNAG iaitu syarikat milik Kerajaan Wilayah Henan akan menjadi rakan strategik KXP AirportCity di China setelah projek itu siap dilaksanakan kelak di mana ianya merupakan salah satu komponen Kedah Aerotropolis.

Konsul Besar HNAG yang juga Pengarah Pembangunan Perusahaan kumpulan syarikat, Jia Xinming mengetuai delegasi kunjungan hormat bersama 11 ahli rombongan lain itu.

Kunjungan itu juga sebagai balasan lawatan Kerajaan Kedah dan KXP AirportCity ke China pada penghujung tahun lalu bagi merangka kerjasama antara dua pihak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri, Dato Fauzi Mustaffa antara yang turut hadir bagi pihak kerajaan negeri.

Manakala KXP AirportCity diwakili Ketua Pegawai Eksekutif KXP AirportCity, Nor Salman Saad@Bidin, selain turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tahira Group, Vincent Tan.

Juga Pengarah Tahira Air, Dato’ Syed Yussof Syed Othman serta ahli-ahli Lembaga Pengarah KXP AirportCity dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Dalam pada itu, Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity turut mengutus jemputan kepada Naib Gabenor Wilayah Henan, Sun Shougang untuk melawat Kedah. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -