Korea Selatan balas Korea Utara guna lagu K-pop

Korea Selatan bertindak dengan meletakkan sebanyak 24 biji pembesar suara berkuasa tinggi di zon bebas tentera (DMZ) yang bersempadanan dengan Korea Utara. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

SEOUL: Korea Selatan akan menyambung semula propagandanya dengan menyiarkan lagu K-pop dan berita pada pembesar suaranya di zon bebas tentera (DMZ) yang bersempadanan dengan Korea Utara.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan, Chang Ho-jin berkata, tindakan itu diambil susulan tindakan Korea Utara yang sebelum ini telah menjatuhkan sebanyak 330 biji belon seberat 15 tan yang mengandungi sampah sarap sepanjang minggu lalu.  

- Advertisement -

“Langkah-langkah yang akan kami ambil mungkin tidak dapat ditanggung oleh rejim Korea Utara, tetapi ia akan menghantar mesej harapan dan cahaya kepada tentera Utara dan rakyatnya,” katanya.

Sebanyak 24 biji pembesar suara berkuasa tinggi diletakkan di rak-rak setinggi enam meter, dengan lebar tiga meter akan diletakkan di pelbagai lokasi di kawasan pagar kawat berduri yang menandakan sempadan zon bebas tentera antara kedua-dua negara berkenaan, lapor Reuters.

Terdahulu, belon-belon yang dijatuhkan itu dilaporkan mengandungi antara lainnya najis binatang, puntung rokok, kain-kain lusuh, bateri dan kertas buangan.

Tambah Ho-jin, pihak Korea Utara cuba untuk mewujudkan ‘kebimbangan’ dan ‘gangguan’ di Korea Selatan dengan tindakan mereka itu. Oleh yang demikian menurutnya, Korea Utara perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika terdapat sebarang peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara itu. 

Kali terakhir Korea Selatan menggunakan pembesar suara yang boleh mencapai sejauh 20 kilometer itu adalah pada 2018 apabila kedua-dua negara berkenaan menandatangani perjanjian untuk mengurangkan tahap ketegangan. –HARAKAHDAILY 10/6/2024 

- Advertisement -