Kerajaan gagal uruskan isu pencarum KWSP

Wan Saiful (tengah) ketika hadir dalam Solidariti Bersepadu Secara Aman di hadapan Menara KWSP Kwasa Damansara, Kuala Lumpur pada hari ini, 10 Jun 2024.
- Advertisement -

DAMANSARA: “Pelaksanaan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak membantu rakyat, kerana ia bukan sesuatu yang diminta oleh pencarum.”

Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu tuntutan KWSP secara bersasar amat penting dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

“Namun, malangnya Perdana Menteri pada sekarang ini dilihat terus gagal dalam menguruskan hal ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Solidariti Bersepadu Secara Aman di hadapan Menara KWSP, di sini  hari ini bagi menyatakan sokongan kepada pencarum-pencarum KWSP yang terkesan berhubung tuntutan pengeluaran dana mereka secara bersasar.

“Saya tersentuh ada dalam kalangan mereka yang hadir datang dari Kedah hingga Sarawak,” tambahnya.

Menurut beliau, ada pencarum yang mempunyai dana yang banyak dalam Akaun 1 tetapi mereka hidup tertekan kerana wang itu tidak boleh dikeluarkan. 

“Malahan, ada yang terpaksa bergolok-gadai untuk hidup seharian walaupun dalam Akaun 1 ada puluhan ribu ringgit.

“Selepas penyerahan memorandum oleh wakil pencarum KWSP kepada Ketua Jabatan Saluran Fizikal KWSP, Suhaizam Ismail, saya menyuarakan agar kerajaan meneliti semula pengeluaran Akaun 1 secara bersasar yang dilihat lebih rasional berbanding pengenalan Akaun 3,” jelasnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kemanusiaan Rakyat Malaysia yang konsisten memperjuangkan suara pencarum-pencarum KWSP terbabit.

“Insya-Allah, saya akan membawa suara mereka ini dalam sidang Dewan Rakyat akan datang,” katanya. –HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -