Kenaikan harga diesel wabak inflasi era Madani

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenaikan harga diesel adalah satu gelombang baharu ‘wabak’ inflasi dalam era pemerintahan Kerajaan Madani.”

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, sebelum Pilihan Raya ke-15 (PRU15) rakyat dijanjikan (oleh Umno dan DAP yang membentuk Kerajaan Madani) dengan penurunan harga minyak tetapi selepas PRU15, rakyat akhirnya disajikan dengan kenaikan harga minyak.

- Advertisement -

“Hari ini pengguna diesel mula mengeluh. Esok lusa pengguna petrol pula akan berpeluh.

“Kenaikan harga diesel adalah pencetus gelombang baharu penularan ‘wabak’ inflasi di era Ekonomi Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika mengulas mengenai isu kenaikan harga diesel bermula pada hari ini, di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai 12 tengah malam tadi.

Menurut Syahir, rakyat akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi walaupun dilengkapi Pangkalan Data Utama (PADU) dan Budi Madani (BUDI).

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa inflasi ‘tolakan-kos’, impak kenaikan diesel bukan kepada pemiliknya sahaja tetapi terhadap setiap barangan dan perkhidmatan yang dibawanya.

“Walaupun sektor pertanian dan logistik diberikan perlindungan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, penguatkuasaan tetap penting bagi mengawal harga dan keuntungan.

“Hilang sudah segala formula dan janji. Inilah falasi realiti ekonomi Madani.

“Ternyata Perdana Menteri dan kerajaan ‘kakistokrasi’ ini gagal untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Hakikatnya rakyat tidak bersedia untuk menghadapi situasi pertumbuhan pendapatan yang perlahan berbanding kenaikan harga barang yang melambung tinggi,” jelasnya.

Beliau menegaskan, melangkah ke hadapan, angka hutang isi rumah dan pinjaman perlu diperhatikan kerana khuatir perbelanjaan domestik yang memacu ekonomi sebenarnya dipacu oleh keberhutangan rakyat yang tinggi.

Kata beliau lagi, secara kebetulan, harga diesel di Semenanjung dinaikkan pada Jun 2024 selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu diadakan pada Mei 2024 yang diumumkan oleh MK2 dengan penuh senyuman.

“Besar kemungkinan, kenaikan harga petrol Semenanjung akan menyusul pada September 2024 iaitu selepas PRK Sungai Bakap diadakan pada Julai 2024; sebaiknya diumumkan oleh Menteri Ekonomi yang budiman.

“Adapun harga diesel dan petrol di Sabah dan Sarawak masih dikecualikan. Secara kebetulan, pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan Sarawak akan diadakan pada tahun hadapan.

“Selepas pilihan raya, bersedialah dengan 1001 kemungkinan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -