
KANGAR: Kenaikan harga diesel pastinya akan memberi kesan kepada rakyat kerana ia sering membawa beban yang signifikan baik kepada individu mahupun syarikat, ujar seorang usahawan, Husna Hashim, 39.
“Untuk kenaikan harga diesel ini memang satu benda yang agak membebankan kepada individu ataupun kepada syarikat. Percayalah.
“Bila harga diesel naik, barang-barang yang perlu dihantar menggunakan lori, memang guna diesel, setakat subsidi yang mahu diberi hanya berapa ratus, mana nak cukup jadi automatik harga barang akan naik,” katanya.
Kenaikan harga itu menurut HUsna, akan memberi kesan kepada semua pihak dan bukan hanya kepada pengguna diesel.
“Bila kos pengangkutan naik ni, harga barang akan naik, jadi kesan dia tu bukan hanya kepada pengguna diesel, tapi kepada semua,” jelas Husna.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan kos ini mungkin tidak disedari oleh sesetengah pihak, tetapi sebagai pengguna diesel, beliau merasai impaknya yang besar.
“Saya sebagai pengguna diesel, memang sangat tinggilah kos dia. Sebab kebanyakan orang yang pakai diesel ni adalah orang yang selalu travel (melalui perjalanan jauh),” tambahnya.
Bermula tengah malam semalam, harga diesel di stesen runcit di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 seliter.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan dalam sidang akhbar di Putrajaya.
Menurut Amir Hamzah, harga diesel tanpa subsidi akan ditetapkan secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM). – HARAKAHDAILY 10/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!