Kenaikan diesel jejas pengusaha bas pelancongan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kenaikan harga diesel begitu mendadak dijangka mengundang kenaikan kadar sewa bas persiaran antara 50 sehingga 60 peratus.

- Advertisement -

Kadar sewa bas itu terpaksa dinaikkan bagi menyerap kesan kenaikan harga diesel selepas kerajaan Madani menghapuskan subsidi diesel mulai hari ini.

Seorang pengusaha bas pesiaran dari Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, industri pelancongan akan turut terjejas dengan penghapusan subsidi diesel.

Katanya industri pelancongan yang sedang berkembang di Malaysia akan terjejas akibat peningkatan harga diesel.

“Selain itu hotel-hotel juga akan menaikan kadar sewa bilik memandangkan bahan mentah dibawa menggunakan kenderaan berat yang berkuasa diesel,” katanya ketika dihubungi di sini.

Petang semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel diselaras mengikut pasaran semasa, dengan harga permulaan di Semenanjung RM3.35 seliter.

Harga tersebut meningkat sebanyak RM1.20 seliter berbanding RM2.15 seliter sebelum ini.

Ahmad juga berkata, biarpun syarikat pengangkutan boleh memohon diesel bersubsidi Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 namun ia perlu memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenarai Kementerian Kewangan.

Antaranya syarikat mesti berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 atau entiti perniagaan tunggal atau perkongsian yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 atau Akta Perkongsian Liabilti Terhad 2012.

“Saya menjangka pengusaha bas persiaran akan berdepan masalah untuk terus beroperasi kerana kenaikan harga diesel dibuat secara mengejutkan dan kadar begitu tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -