Kejatuhan CGGI Malaysia memalukan

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami penurunan ketara dalam Chandler Good Government Index (CGGI) pada tahun ini berbanding tahun lepas dengan kejatuhan sebanyak lima anak tangga.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata kejatuhan Malaysia bagi CGGI amat memalukan kerana tersasar dalam teras kepimpinan beretika, wawasan jangka panjang, kebolehsuaian, keutamaan strategik dan inovasi.

- Advertisement -

“Lebih memalukan apabila teras undang-undang dan dasar yang teguh turut mengalami penurunan yang ketara dengan kejatuhan sebanyak tujuh anak tangga. 

“Padahal selama ini, pihak kerajaan sentiasa mendabik dada dengan formula-formulanya yang dikatakan berkesan dalam pengamalan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Ternyata, sebaliknya yang berlaku apabila penurunan ini juga membuktikan bahawa dasar-dasar semasa masih gagal membantu rakyat bangkit dan keluar daripada kepompong kesusahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) turut menyeru agar kerajaan bermuhasabah dan mengambil setiap pendekatan tanpa gagal bagi menyelamatkan kembali negara dan menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat.

“PN juga menasihati pihak kerajaan supaya menerima formula daripada pakar dan pihak berautoriti, bukannya daripada ‘Tuan Penasihat 20 peratus’,” katanya.

CGGI ialah barometer penting untuk menilai kualiti tadbir urus di seluruh dunia, mempengaruhi persepsi terhadap kecekapan pentadbiran sesebuah negara dan keupayaannya untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial.

Indeks ini mengukur keupayaan dan keberhasilan sesebuah kerajaan di seluruh dunia berdasarkan tujuh teras iaitu kepimpinan dan pandangan jauh, undang-undang dan dasar yang teguh, institusi yang kukuh, pengawasan kewangan, pasaran yang menarik, pengaruh global dan membantu orang ramai bangkit. 

Pada tahun ini, Malaysia mencatat kejatuhan bagi kesemua tonggak terutamanya dalam aspek kepimpinan dan pandangan jauh yang menjunam daripada kedudukan ke-26 kepada kedudukan ke-44 tahun ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -