Isu diesel beri tekanan kepada rakyat 

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga diesel sehingga RM3.35 seliter yang diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam, kini telah menyebabkan keresahan kepada rakyat di Semenanjung Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, mempersoalkan mengapa kerajaan tidak melaksanakan kenaikan diesel secara berperingkat sehingga memberi tekanan kepada semua. 

- Advertisement -

“Sejak bertahun-tahun lamanya rakyat Malaysia dicanang berkaitan harga minyak perlu diturunkan. Kesan penarikan subsidi yang pasti meningkatkan harga barangan sering dikumandangkan untuk mendapatkan sokongan rakyat. 

“Namun apabila berada di puncak kuasa, kesemua ucapan itu ‘dibakulsampahkan’. Janji-janji tersebut sekadar pemanis kata sahaja manakala rakyat terus dalam kesempitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sejarah telah membuktikan bahawa kenaikan harga minyak menyumbang kepada kenaikan harga kos barangan. 

“Apatah lagi jika kenaikan kali ini adalah sangat tinggi. Jaminan daripada menteri bahawa harga barang tidak naik itu hanya alasan ‘kitar semula’ yang sudah lama didengar dan tidak dipercayai majoriti rakyat. 

“Siapa yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kenaikan harga barang? Yang pasti, majoriti rakyat terus sengsara di bawah Kerajaan Madani ini,” katanya.

Fawwaz berkata, subsidi bukan sedekah tetapi menjadi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan keseluruhannya.

“Cukai dikutip setiap tahun dari rakyat menjadi hasil kepada kerajaan. 

“Duit kerajaan adalah milik rakyat dan kerajaan memerintah wajib mentadbir dan menguruskan duit rakyat sebaiknya supaya dapat dinikmati untuk kesejahteraan dan pembangunan negara,” katanya.

Terdahulu, harga diesel di Malaysia dengan jumlah subsidi sebelum pelarasan semula, dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 bagi nelayan; RM1.88 bagi pengangkutan awam darat; RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta pernah mencecah RM3.60 bagi sektor komersial tanpa subsidi. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -