‘Diesel naik harga: Bantuan RM200 tak cukup’

Shahrulufti Sharif
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Bantuan kerajaan kepada golongan B40 sebanyak RM200 tidak mencukupi dalam menghadapi kenaikan harga diesel baru-baru ini.”

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Shahrulufti Sharif berkata, kenaikan harga diesel sebanyak RM3.35 seliter pasti akan memberi beban kepada rakyat terutamanya golongan B40 yang menggunakan minyak tersebut.

- Advertisement -

“Kenaikan minyak diesel turut merangkumi kesejahteraan rakyat pada masa ini yang pasti terjejas dengan kenaikan harga barang-barang keperluan seharian, termasuk golongan M40 yang juga terkesan.

“Pengusaha dan pengilang yang terkesan dengan kenaikan kos diesel akan menaikkan harga barang keluaran mereka. Adakah cukup dengan pemberian tunai RM200 sebulan kepada golongan bersasar?” katanya.

Menurut beliau, kenaikan harga diesel dari RM2.15 kepada RM3.35 adalah jelas tidak mencukupi jika bantuan yang diberikan hanya sekadar RM200 sebulan, lebih-lebih lagi apabila kiraan atas 80 liter setiap kali mengisi minyak diesel sudah hampir RM300.

Shahrulufti menegaskan, kerajaan perlu menaikkan bantuan tunai kepada golongan bersasar terutamanya B40 dari RM200 kepada RM400 setiap bulan sebagai langkah meringankan tekanan hidup rakyat marhaen atau golongan bersasar akibat kenaikan harga diesel.

“Jika kerajaan dapat menjimatkan RM4 bilion apabila subsidi ditarik, maka jika ditambah bantuan tunai bulanan kepada RM400, apakah besar sangat jumlah nya dgn penjimatan hasil tarik subsidi berjumlah RM4 billion lebih?

“Dulu Pakatan Harapan (PH) berjanji harga minyak akan turun jika dilantik memerintah negara ini tetapi perkara sebaliknya pula yang terjadi,” jelasnya.

Beliau menyatakan perlunya pelaksanaan bantuan secara telus, adil dan efektif tanpa sebarang pilih kasih atas dasar politik.

“Setiap rakyat yang layak menerima bantuan harus mendapatkannya dengan lancar tanpa sebarang gangguan atau diskriminasi,” katanya. -HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -