‘Bukti kegagalan Kerajaan Madani’

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenaikan harga diesel disebabkan langkah penyasaran subsidi yang diperkenalkan Kerajaan Madani adalah bukti kegagalan kerajaan yang memerintah, sebagaimana janji yang sering diulang-ulang kepada rakyat sebelum daripada ini.”

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pihaknya berpandangan tindakan Kerajaan Madani tersebut tidak lain hanyalah suatu pembohongan besar kepada rakyat. 

- Advertisement -

“Apa sahaja yang dijanjikan ketika mereka di pihak pembangkang suatu ketika dahulu, hari ini telah dibakulsampahkan begitu sahaja.

“DUPP menggesa Kerajaan supaya bersifat prihatin terhadap sebarang bentuk polisi yang melibatkan kepentingan rakyat umumnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoalkan, walaupun tidak dinafikan terdapat keperluan untuk mengawasi fiskal yang semakin tenat, namun apakah pelaksanaannya sesuai dengan masa dan keadaan yang sedang dihadapi rakyat?

“DUPP juga tertanya-tanya apakah pembanterasan rasuah sehingga ke akar umbi dan penguatkuasaan jenayah penyeludupan telah dilakukan semaksima mungkin sebelum meletakkan justifikasi terhadap keperluan menarik semula subsidi ini?

“Sedangkan itulah yang sering disebut-sebut oleh salah seorang Menteri Kerajaan Madani ketika berada di kerusi pembangkang dahulu.

“Ironinya, hari ini mereka sekadar mengulangi alasan yang sama. Jelaslah tidak ada yang istimewa di sebalik reformasi yang dilaungkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -