‘Amaran buat tali barut dalam atau luar negara…’

Nadzir Helmi dalam perhimpunan Protes Senyap Sambutan Kemerdekaan Amerika Syarikat, di Kuala Lumpur pada hari ini, 10 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Jangan sesekali kita berhenti berdoa dan teruskan bersuara untuk rakyat Palestin.”

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, rakyat di negara ini perlu kekal dan terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, yang sudah terlalu lama menderita dizalimi rejim Zionis Israel.

- Advertisement -

“Ini adalah bertujuan supaya tidak ada mana-mana pihak yang pro-Zionis untuk terus kekal dalam negara ini.

“Kita kena sedar apa yang berlaku hari ini ialah tangan-tangan yang mahu menghapuskan penduduk umat…dan apabila kita sebut tentang Palestin, ia sangat dekat dengan sensitiviti umat Islam,” katanya.

“Namun hari ini, kita tak perlu bercakap mengenai Islam untuk menyedarkan masyarakat. Jika mungkin 10 hingga 20 tahun lepas, Palestin dikaitkan dengan agama, tapi kali ini tidak. Palestin kini dikaitkan dengan isu kemanusiaan. Semua sedang bergerak.

“Saya beri amaran kepada semua yang terlibat menjadi tali barut sama ada di dalam atau di luar negara berkaitan tentang kerajaan kita ataupun berkait dengan genosid yang sedang berlaku (di Semenanjung Gaza)…pertama sekali sekutu rapat bersama dengan Israel, kita tidak akan teragak-agak untuk menganjurkan himpunan yang lebih besar,” katanya.

Menurut Nadzir, setakat ini pihaknya telah berkumpul (secara besar-besaran sebanyak) dua kali – pada tahun lepas dan pada tahun ini, yang berjaya mengumpul antara 30,000 hingga 50,000 orang.

“Jadi, kita tidak teragak-agak dengan kesatuan yang ada pada hari ini, dengan apa yang berlaku hari ini, semua mangsa, semua kaum, semua agama bertindak untuk bersama-sama dalam isu ini untuk mengumpulkan rakyat Malaysia besar-besaran semula!” tegasnya.

Nadzir menyatakan, jika pihak kerajaan atau mana-mana pihak yang bersengkongkol terhadap perjuangan ataupun bersama dengan agenda genosid, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan himpunan yang lebih besar.

“Itu komitmen kita semua. Kita akan berikan walau apa juga yang berlaku. Kita akan bersama dengan pihak Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perhimpunan Protes Senyap Sambutan Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS), di hadapan Hotel Mandarin Oriental, di sini, hari ini.

Tambah Nadzir, pihaknya memberi tekanan kepada kerajaan dalam keadaan pihaknya menyokong perjuangan Palestin untuk merealisasikan dalam bentuk tindakan.

“(Kita) tolak semua apa juga hubungan yang ada kaitan dengan tali barut terutama sekali terhadap penjualan (sebahagian) aset (saham) di MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad), (kepada syarikat Global Infrastructure Partners atau GIP) yang ada kaitan dengan syarikat (pro-Palestin) BlackRock.

“Rakyat sanggup mengorbankan segala keinginan dan kemahuan sendiri hanya kerana memikirkan nasib yang sedang melanda saudara kita di Palestin.

“Namun, sangat menyedihkan kerajaan Madani sendiri tidak mampu berbuat demikian. Jangan biarkan Malaysia pula dijarah Zionis Laknatullah ini nanti!” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut ketika ditemui Harakahdaily beliau berkata, dalam pada umat Islam bakal menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, semakin ramai rakyat Palestin yang telah dibunuh secara kejam oleh Zionis Israel.

“Majoriti rakyat Malaysia mempunyai pendirian tetap iaitu bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan sendiri telah menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan menentang kezaliman negara haram Israel.

“Namun begitu, kenyataan kerajaan sahaja tidak mencukupi sekiranya di hadapan kata lain tetapi di belakang pula melakukan perkara sedemikian.

“Sudah ramai rakyat Palestin yang disembelih oleh rejim Zionis Israel. Perkara sebegitu tidak seharusnya diabaikan.

“Saya mungkin merupakan seorang yang kerdil untuk bercakap mengenai isu Palestin tetapi kita mesti kena teruskan bercakap juga (mengenai Palestin),” katanya. – HARAKAHDAILY 10//2024

- Advertisement -