25 peserta projek RMM Kemas Sejahtera terima kunci

- Advertisement -

MARANG: Seramai 25 peserta Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Kemas Sejahtera menerima kunci rumah yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Samsuri, RMM Kemas Sejahtera dahulunya dikenali sebagai My Beautiful New Home (MyBNHome) merupakan projek hasil usahasama daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Kata beliau, projek perumahan yang bernilai RM6 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas enam ekar di Kampung Mak Kemas, DUN Bukit Payong.

“Projek perumahan ini telah bermula pada 5 Februari 2018, namun pembinaannya tergendala seketika disebabkan masalah teknikal serta Covid-19 tetapi diteruskan semula pada 12 Julai 2022. 

“Projek in telah berjaya disiapkan sepenuhnya dengan memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 18 Ogos 2023 oleh pihak Kontraktor Aza Ventures Sdn.Bhd,” katanya ketika merasmikan Majlis Serah Kunci RMM Kemas Sejahtera di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Ir Saiful Azmi Suhaili dan wakil MOF, Mohamad Sallahuddin Hashim.

Beliau berharap dengan penyerahan RMM itu akan dapat memberi kediaman yang selesa kepada penduduk terutamanya yang tinggal di daerah Marang.

“Harapan saya mewakili kerajaan negeri agar semua penghuni dapat menjaga kebersihan, keselamatan, dan kesejahteraan, persekitaran rumah masing-masing supaya ianya menjadi rumah contoh,” katanya.

Komposisi pembangunan terdiri daripada 50 unit rumah berkembar setingkat dan terdapat 25 blok di dalam kawasan perumahan.

Keluasan setiap rumah adalah 718.902 kaki persegi yang mempunyai rang meletak kenderaan, ruang tamu, ruang makan, ruang dapur, tiga bilik tidur, satu bilik air dan satu tandas.

Selain itu, terdapat kemudahan lain seperti Compact Substation TNB, tapak tadika, tapak surau, tapak penjaja, tapak tangki air dan kebuk sampah.

Kerajaan telah menetapkan rumah mampu milik itu pada harga RM40,000 seunit.

Namun, harga yang dijual kepada peserta adalah sebanyak RM20,000 di mana MOF telah memberi subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang dibangunkan.

Tempoh pembiayaan adalah selama 10 tahun iaitu dengan kadar bayaran sebanyak RM196 sebulan. – HARAKAHDAILY 10/6/2024

- Advertisement -