KUALA TERENGGANU: Rakyat tidak pernah lupa peristiwa reformasi jalanan 1998, siri demontrasi jalanan Bersih sehingga hampir melumpuhkan negara.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata demikian menanggapi kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat laporan yang menyentuh mengenai isu sensitif seperti Raja, agama dan perkauman (3R).
“Waktu (demontrasi jalanan Bersih) itu kalau hendak dikaitkan dengan isu 3R, memang banyak. Rakyat sangat ingat pada waktu itu. Siapa mereka pada waktu itu?
“Janganlah tampak kamu secuci alam, kerana rakyat sentiasa ingat dan berwaspada apatah lagi mereka yang dulu ada dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Menurut beliau, kebebasan itu penting sama ada mengemukakan suara, pandangan, kritikan daripada media dan berpersatuan.
Katanya, rakyat sangat memahami untuk bertindak atas naluri isi hati, nadi denyut berpaksikan lingkaran Perlembagaan.
“Namun kerajaan sekarang sangat bimbang, sangat takut apatah lagi media arus perdana dan digital berani membangkitkan isu tetapi kenapa diberikan peringatan sinis itu tidak boleh, ini tidak boleh?
“Kebangkitan rakyat semakin dirasai, tetapi yang memecah-belahkan negara, menimbulkan ketidaktenteraman awam dahulu, siapa dan di mana, rakyat tahu,” katanya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan sempena Malam Wartawan Malaysia 2024 di ibu negara, sekali lagi mengulangi iltizam dan komitmennya untuk melindungi kebebasan media dalam melaksanakan tugas.
“Usah mengajar rakyat, rakyat dan media bergerak seiring dalam membangunkan hala tuju negara masa kini dan masa depan,” kata Razali. – HARAKAHDAILY 9/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!