Pulau Pinang tak patut ada masalah bekalan air

Untung jual air yang diambil percuma dari Kedah

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Pulau Pinang yang membangun maju dan pesat serta memperolehi pendapatan tinggi tidak sepatutnya mempunyai masalah bekalan air berbanding negeri miskin seperti Kedah.

Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, masalah tersebut sepatutnya menjadi perkara sangat memalukan bagi negeri yang ditadbir oleh DAP itu.

“Ada masalah ayaq (air) rupanya di Nibong Tebal ni. Aku ingat Kedah je (saja) hari-hari TV3 meratip masalah ayaq di Kedah. Hari-hari (TV3 lapor) ayaq sana tak dak, Rupanya Pulau Pinang pun tak dak ayaq,” sinisnya.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, Pulau Pinang bukan negeri yang besar di mana jajaran paip airnya juga hanya sepanjang kira-kira 2,400 kilometer (km) panjang berbanding seluruh Kedah sekitar 13,000 km.

Oleh itu tegas beliau, perkhidmatan perbekalan air di Pulau Pinang sepatutnya lebih mudah diuruskan, juga kerana kepadatan penduduknya, selain penyelenggaraan tidak semahal yang ditanggung Kedah.

Malah bongkarnya, Pulau Pinang menjual air kepada kapal semahal RM15 bagi satu meter padu, sekali gus wajar menyediakan infrastruktur bekalan air lebih baik, berbanding Kedah menjual air kepada domestik cuma RM0.55.

“Kami (Kedah) nak maintenance 7-8 km baru jumpa sebiji kampung. Dalam kampung itu pula pakai telaga. Hat habis tak dak, malas cedok baru dia buka air paip. Besar maintenance air di Kedah.

“Rupanya Pulau Pinang pun tak dak air. Awat (kenapa) jadi lagu itu? Bukan DAP pandai ke memerintah? Tak dak dah manusia yang pandai perintah negeri di di dunia ni selain pada DAP,” sindirnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Pulau Pinang juga katanya, mempunyai banyak sektor industri dan mereka dapat menjual air dengan kadar lebih mahal, apatah lagi negeri itu mengambil air mentah tanpa bayaran dari Sungai Muda yang berpunca dari Kedah.

Menurut beliau, Pulau Pinang mengekstrak 1,440 juta liter sehari (MLd) berbanding Kedah hanya 770 MLd iaitu separuh perbezaannya dan kerana itu juga negeri itu mencatat untung ratusan juta ringgit berbanding Kedah hanya puluhan juta ringgit.

Sindir Sanusi juga, seandainya beliau menjadi Ketua Menteri di negeri ini pasti masalah bekalan air tersebut dapat diselesaikan, pun begitu bersedia menawarkan lebihan air terawat yang dimiliki Kedah.

Jelasnya, Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar di Kulim yang bersempadan negeri ini mempunyai kebihan air terawat dan bersedia menjualnya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Kalau nak mai beli, saya saya jual. Saya bukan tak dak air bersih, ada. Kalau hang nak beli, kita jual. Di Lubuk Buntar ada lebihan air bersih di situ. Dengan suci hati. Syaratnya kena beli, tak boleh ambil free (percuma) macam Sungai Muda,” pelawanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -