HULU SELANGOR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan parti itu tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam.
Beliau berkata, banyak tohmahan yang dilakukan oleh pemimpin tertentu termasuk dalam kalangan kerajaan, antaranya melabelkan PAS sebagai parti agama.
“Hakikatnya setiap kali orang bukan Islam mengisi borang ahli PAS, kami tidak pernah paksa mereka untuk memeluk Islam dan begitu juga bila orang Islam jadi ahli PAS pun kami tidak pernah menyuruh memperbaharui ucapan syahadah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Hulu Selangor ke-38 yang diadakan di Batang Kali, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyentuh situasi negara yang sedang menuju ke arah pemerintahan bersifat ‘diktator’ apabila banyak halangan terhadap hak kebebasan bersuara.
“Kita sendiri boleh melihat bagaimana Malaysia telah menjadi paling tertinggi di dunia dalam menghalang banyak kandungan (content) video untuk masuk dalam laman sosial TikTok dan perkara ini sendiri diakui oleh syarikat TikTok,” ujarnya.
Malah, katanya Harakah pun diganggu oleh pihak kerajaan.
“Ini belum campur lagi dengan soal isu ekonomi yang mana rakyat pada hari ini sudah terbeban lebih-lebih lagi apabila kerajaan mula tarik balik subsidi minyak.
“Ini menunjukkan sudah terlalu banyak isu yang telah ditimbulkan oleh pemerintahan kerajaan pada masa ini,” jelasnya.
Susulan itu, katanya kerajaan pada hari ini mula berhadapan dengan kebangkitan kerana sudah tidak ada perkara yang boleh dibanggakan setelah memegang tampuk pemerintahan.
Kata beliau lagi, rakyat mula mempersoalkan kepimpinan kerajaan pada masa ini menerusi media-media sosial seperti TikTok dan Twitter X.
“Jadi influencer–influencer TikTok memainkan peranan yang penting dan kita mesti banyakkan lagi golongan ini dalam memenangi pilihan raya akan datang.
“Jadi, sama-sama kita teruskan lagi usaha supaya dapat tarik lagi sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional supaya boleh baiki semula keadaan negara ini.
“Saya doakan kita semua dapat mencapai kemenangan dalam pilihan-pilihan raya yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024