Pantau penyasaran subsidi diesel, elak kesan negatif kepada rakyat

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengambil maklum keputusan kerajaan memulakan langkah penyasaran subsidi diesel bermula tengah malam ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan pengumuman mengenai perkara itu oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, hari ini.

“PAS mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah ini, namun pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan media, malam ini.

Selain itu, katanya wujud kebimbangan berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah.

Menurutnya, dalam konteks ini, PAS berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, kumpulan berpendapatan rendah dan lain-lain akan diliputi sepenuhnya bawah langkah pengecualian yang disediakan melalui proses pendaftaran yang mudah diakses.

Ini, kata beliau termasuk peranan proaktif agensi terbabit memastikan mereka dikesan dan dibantu sewajarnya.

“Kerenah atau ketidakcekapan birokrasi misalnya tidak harus menjadi penghalang dalam hal ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

 Menruutnya lagi, kebimbangan kedua ialah kemampuan kerajaan menangani isu kebocoran serius yang berlaku, terutama daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira tiga juta liter sehari.

Katanya, agensi keselamatan di sempadan, termasuk Jabatan Kastam Diraja, mempunyai peranan besar yang perlu digembleng sepenuhnya bagi memperkukuh mekanisme penyasaran subsidi sebaiknya.

Dalam pada itu, tambahnya PAS juga berharap kerajaan akan meningkatkan peranan pemantauan dan penguatkuasaan domestik bagi menghalang pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau memanipulasi pasaran yang sudah tentu akan memberi kesan negatif ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat.

“PAS percaya, langkah penyasaran subsidi diesel ini perlu dipantau keberkesanannya secara dekat oleh kerajaan dan semua langkah perlu hendaklah diambil segera sekiranya terdapat tanda-tanda perjalanannya terseleweng atau tidak menepati sasaran,” katanya lagi.

Harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung, bermula jam 12 tengah malam ini diumumkan oleh Amir Hamzah pada sidang media Penyasaran Subsidi Diesel di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Harga diesel itu bertambah sebanyak RM1.20 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini.

Harga diesel juga dijangka akan dikemas kini mengikut minggu sama seperti harga petrol RON97.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan menanggung kos subsidi diesel sebanyak RM1 bilion sebulan dengan anggaran kebocoran mencecah RM4.5 juta sehari.

Katanya, langkah penyasaran subsidi diesel merupakan antara inisiatif penambahbaikan utama dalam kerangka Ekonomi Madani bagi memastikan pengurusan kewangan yang mampan dan menangani masalah kebocoran serius yang berlaku tanpa mengabaikan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -