Muslimat PAS Sabah melalui fasa menuju kematangan

Norsah Bongsu
- Advertisement -

PAPAR: “Dewan Muslimat PAS menjangkau usia 34 tahun ini sedang melalui fasa tarbiah menuju kematangan dalam dakwah dan siasah,” kata Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu.

- Advertisement -

Menurutnya, usia 30 hingga 39 tahun disifatkan sebagai waktu kemuncak ujian, namun dalam tempoh itu Dewan Muslimat PAS negeri telah berjaya melahirkan 15 Dewan Muslimat Kawasan berdaftar di seluruh negeri.

“Kejayaan 34 tahun ini juga dapat dilihat apabila terdapat beberapa Dewan Muslimat Kawasan yang berjaya menubuhkan Taska Asuhan Tunas Insan (TASTI) pada tahun 2018, 2019 dan 2021 yang merupakan produk muslimat,” jelasnya lagi semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri ke-34 di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Dewan Muslimat PAS Malaysia, Wan Hasrina Wan Hasan dan Pengarah Jabatan Muslimat Profesional, Dr. Siti Aminah.

Majlis perasmian serentak Dewan Ulamak, Pemuda dam Muslimat PAS negeri disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Norsah juga menegaskan PAS bukanlah semata-mata sebuah parti politik tetapi juga parti dakwah khususnya di Sabah.

Katanya lagi, gandingan tenaga muslimat senior dan muda yang ada akan dapat membina kekuatan dan ketrampilan yang sesuai dalam melaksanakan kerja tarbiah dan siasah.

“Maka, semua perlu memiliki kefahaman yang jelas dan menyeluruh terhadap tarbiah dan siasah,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -