HULU SELANGOR: Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun menyeru setiap ahli parti supaya mengambil peduli masyarakat bukan Islam memandangkan mereka merupakan mad’u supaya Islam lebih berkembang.
“Ayuh sahabat-sahabat buka minda kita jom bersama saya untuk terus dekati mereka. Tunjukkan kebaikan kita kepada masyarakat bukan Islam, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain. Anggaplah mereka adalah mad’u kita.
“Selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah ketuk hati mereka untuk bersama-sama kita,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Hulu Selangor Kali Ke-38 di Batang Kali, hari ini. Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurutnya, kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam dan Batang Kali ialah dengan izin Allah SWT.
Justeru, berkata, beliau melihat kebangkitan dan sokongan kepada PN masih utuh termasuklah daripada kalangan golongan muda.
“Cuma dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu baru-baru ini yang Allah SWT tidak mengizinkan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya.
Menurut beliau, terdapat beberapa sebab lain yang menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Tambahnhya, adalah satu keyakinan bahawa ia bukan berpunca daripada orang ramai yakin dengan kepimpinan kerajaan pada masa ini.
“Apapun sekian kalinya saya ucapkan tahniah dan syabas buat Mu’izzuddeen Mahyuddin (ADUN Hulu Bernam) dan juga Muhammad Harith Abdullah Sani (ADUN Batang Kali) kerana telah berjaya memenangi di DUN masing-masing,” tambahnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor mengingatkan diri sendiri dan kedua-dua ADUN berkenaan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik dan semampu mungkin.
“Kita juga memegang amanah yang diberikan oleh pimpinan sebab kita ini mewakili parti dan bukannya mewakili diri sendiri.
“Buruk kita buruklah parti, baik kita, baiklah parti. Rakyat menilai kerja kita dan sekiranya kita tidak melaksanakan kerja kita sebaik mungkin mereka akan hukum kita bila tiba masanya. Lebih malang lagi rakyat bukan hukum kita sebenarnya mereka menghukum parti kita,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024