Ketengahkan pelbagai kepakaran pimpinan dalam PAS

- Advertisement -

HANG TUAH JAYA: PAS harus mengetengahkan para pemimpinnya dengan kepakaran-kepakaran yang mereka miliki mencakupi pelbagai bidang jika mahu dilihat sebagai parti arus perdana.

- Advertisement -

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, perkara itu bagi mengelakkan persepsi bahawa parti ini memiliki pemimpin yang hanya berlatarbelakangkan bidang agama semata-mata.

Jelasnya, perkara tersebut menuntut pemimpin dan ahli-ahli PAS untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu yang diperlukan dalam memberi khidmat kepada rakyat dan mentadbir negara.

“Kita sekarang ini sudah menjadi parti arus perdana. Kita perlu menguasai banyak ilmu. Macam-macam ilmu yang kita perlu kuasai supaya kita dapat menarik rakyat kepada kita dan supaya kita dapat memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang berlangsung di Dewan Mualim Haji Wahid, Kompleks PAS Bukit Katil di sini, kelmarin.

Tambahnya, ilmu-ilmu tersebut ialah seperti ilmu ekonomi, alam sekitar dan lain-lain bidang yang sangat diperlukan dalam perbahasan di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dalam membentuk dasar negara.

Beliau turut menzahirkan kekaguman terhadap Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang mampu membahaskan isu alam sekitar dan perubahan iklim yang menjadi isu besar global pada masa ini.

“Saya dengar YB kita di Parlimen bercakap tentang alam sekitar. Hebat! Kena juga bercakap isu ekonomi, perancangan bandar dan lain-lain lagi.

“Untuk apa? Supaya orang nampak (kepakaran pemimpin PAS), baru kita boleh betul-betul berperanan terhadap masyarakat. Kadang-kadang orang tengok orang PAS ni dia kata (seolah-olah) semua ustaz,” ujarnya.

Malah tambahnya, beliau sendiri disangka bukan wakil rakyat daripada PAS semasa menjawat Exco Perumahan dalam Kerajaan Selangor suatu masa dahulu kerana orang ramai menganggap asalkan dari PAS sahaja adalah Exco Agama.

Kata beliau lagi, PAS juga harus meletakkan seseorang yang memiliki sesuatu kepakaran untuk menjalankan tanggungjawab bagi memastikan seseorang itu dapat dimanfaatkan oleh PAS dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Muhamat Puhat Bedol dalam ucapan alu-aluannya berkata, terdapat desas-desus menjangkakan PRNMelaka ke-16 kemungkinan besar berlangsung tahun hadapan.

“Masa agak terlalu singkat jika benar-benar ia berlaku. Jadi saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan juga sahabat-sahabat daripada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional untuk bersama-sama menyatukan tenaga.

“Menyatukan buah fikiran, menggerakkan gerak kerja agar dapat kita menawan kembali ataupun mengambil Parlimen Hang Tuah Jaya ini daripada Pakatan Harapan,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, itu adalah harapan seluruh rakyat yang berada di Hang Tuah Jaya untuk melihat ia berlaku.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para perwakilan terhadap sindrom Islamofobia yang sedang diapi-apikan oleh pihak tertentu untuk menakutkan rakyat bukan-Islam di negara ini.

“Kita perlu menggembleng tenaga memastikan fenomena ini dapat kita hentikan. Tiada cara yang terbaik untuk kita menerangkan kepada masyarakat luar kebaikan Islam kecuali kita mengambil jalan menuntut ilmu,” katanya.

Dengan cara itu katanya, umat Islam dapat menguatkan kefahaman berkenaan Islam dan memberikan keberanian untuk berhujah kepada mereka yang menakut-nakutkan masyarakat luar kepada Islam.

Majlis turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin dan Timbalan Pesuruhjaya, Bakri Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu.

Turut hadir ialah wakil daripada BERSATU Bahagian Hang Tuah Jaya dan wakil Muafakat Nasional selain Ahli Jawatankuasa Harian PAS Negeri Melaka.

Dalam majlis tersebut seramai tiga aktivis veteran PAS menerima penghargaan ‘Anugerah Jasamu Dikenang’ iaitu Cikgu Salim Tahir, Yahya Baba dan Husin Isthin, manakala Anugerah PAS Cawangan Terbaik dianugerahkan kepada PAS Cawangan Bachang Pasir Puteh Sejahtera. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -