Canang ‘Madani’, tetapi perangai masih ‘Badwi’

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan ketika ini gah mencanang slogan ‘Madani’ yang membawa makna kemajuan dan kemodenan, tetapi hakikatnya masih lagi mengamalkan perbuatan berlawanan apabila bersikap ‘Badwi’ iaitu mundur.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ‘Madani’ juga bermakna meninggalkan cara dan pemikiran lama, tetapi Pakatan Harapan (PH) hingga kini masih tetap juga melakukan perkara lapuk dan buruk.

- Advertisement -

Antaranya kemuka beliau, apabila masih berpolitik dengan menyalahgunakan harta kerajaan semasa pilihan raya, memberi projek kepada kroni dan mengarahkan pertukaran tempat kerja kepada penjawat awam.

Menurutnya, hakikat yang berlaku dalam PRK di era Madani ini, PN selaku parti politik bukan menghadap lawan dari PH selaku parti politik, tetapi jentera kerajaan negeri yang dipimpin DAP dan jentera Kerajaan Pusat diketuai Perdana Menteri Ke-10.

Bidasnya, PH bukan sahaja tidak akan berlawan secara ‘anak jantan’, malah akan menabur segala ‘gula-gula’ berupa projek iaitu cara berpolitik era ‘televisyen hitam-putih’, sedangkan rakyat kini tidak mudah ditipu.

“Sebab itu kita tak hairan kalau dulu merekalah yang paling lantang mengkritik pimpinan Barisan Nasional (BN) dan pimpinan PN waktu mereka menjadi pembangkang. Mereka kata mana boleh untuk gunakan jentera kerajaan.

“Sekarang mereka buat atau tidak?” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) PN N.20 DUN Sungai Bakap di Pejabat PAS Kawasan Nibong Tebal, di sini malam tadi.

Kerana itu jugalah katanya, BERSIH memberi penilaian atau penarafan ‘F’ iaitu gagal kepada kerajaan ketika ini setelah tidak mencapai segala reformasi atau perubahan dalam janji atau pelaksanaan pentadbiran.

Malah bidas Ustaz Idris, kerajaan ketika mempunyai ‘feel good factor’ walaupun baru sahaja mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam, namun ketika sama rakyat menghadapi pula isu subsidi diesel.

“Diberikan RM200 kepada mereka yang ada dapat. Itu pun dengan syarat katanya kena isi BUDI. Mula-mula dulu dia suruh isi PADU. Dia kata dah PADU elok dah. Kemudian sekarang ni pula isi BUDI. Lepas ni pula mungkin BUDU. Last sekali lagi pula BODO,” bidasnya.

Beliau dalam ucapan itu turut mengajuk beberapa ungkapan popular Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai komisen dan korupsi, namun kini semua penyelewengan tersebut sedang berlaku dalam pentadbiran Perdana Menteri itu.

Turut ditempelaknya apabila kerajaan masih gagal menangani keperluan asas rakyat antaranya isu ketiadaan beras putih tempatan di pasaran, tetapi tiba-tiba muncul apabila adanya pilihan raya di satu-satu kerusi. – HARAKAHDAILY 9/6/2024