Dhomir TV: PAS Selangor tuntut TV Alhijrah mohon maaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor kecewa dengan tatacara pengendalian TV Alhijrah dalam menyiarkan bahan-bahan kandungan video yang diterbitkan oleh program Dhomir TV yang bertajuk ‘Ghuluw’.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, dalam video tersebut telah digambarkan bahawa PAS adalah sebahagian daripada mereka yang melampau dalam berpolitik.

“Realitinya, PAS adalah antara parti politik yang tertua dalam negara ini bergerak dalam kerangka Demokrasi Berparlimen, Raja Berpelembagaan di atas peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, penentuan agenda dalam video ini adalah sangat tidak beretika, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, PAS Selangor menuntut agar TV Alhijrah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan menyiarkan video yang mengelirukan umat Islam dan terpesong daripada hakikat yang sebenar.

“TV Al-Hijrah sepatutnya membawa mesej Islam yang sebenar iaitu prinsip tabayyun apabila menerima bahan dan sebelum menyiarkan bahan-bahan kandungan tersebut.

“Ternyata, TV Al-Hijrah telah gagal dan memerlukan latihan tambahan untuk tambah baik tatacara pengendalian pada masa akan datang,” ujarnya.

Katanya lagi, PAS Selangor ingin menegaskan bahawa penerbit bagi program Dhomir TV yang menghasilkan video tersebut telah pun dikenal pasti.

Beliau menyatakan PAS Selangor sedang mempertimbangkan langkah-langkah serta tindakan lanjut ke atas pihak yang terlibat.

“PAS Selangor ingin menegaskan bahawa kami telah mengenal pasti penerbit bagi program Dhomir TV yang menghasilkan video tidak bertanggungjawab tersebut dan sedang mempertimbangkan langkah-langkah serta tindakan lanjut ke atas mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -