KOTA BHARU: Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra) merupakan satu-satunya Ar-Rahnu pertama menerima gadaian perak (dirham Kelantan) di Malaysia.
Premis cawangan Ar-Rahnu di bawah kelolaan Koputra itu juga akan menyediakan perkhidmatan kaunter jualan dan belian balik bagi semua produk dinar dan dirham Kelantan.
Pengurus Kelantan Gold Trade (KGT), Najahuddin Fuad Yusoff berkata, kaedah itu dicapai menerusi perjanjian kerjasama industri antara KGT Sdn Bhd dan Koputra yang diadakan di sebuah hotel, di Subang semalam. Majlis kerjasama itu diadakan sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-38 Koputra.
Menurutnya, melalui kerjasama itu akan membantu orang ramai untuk mendapatkan produk dinar dan dirham Kelantan secara terus melalui kaunter Ar-Rahnu Koputra.
“Antara Intipati utama perjanjian tersebut, untuk menjadikan cawangan Ar-Rahnu Koputra sebagai ar rahnu pajak gadai Islam pertama menerima gadaian bagi produk Dinar Dirham Kelantan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Perjanjian itu telah ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) merangkap Pengarah Eksekutif Kelantan Gold Trade Sdn Bhd, Abdul Rashid Mohd Yusoff dan Pengerusi Koputra, Zaharuddin Alias.
Majlis perjanjian itu disaksikan Presiden Angkasa, Abdul Fatah Abdullah dan Pengurus Kelantan Gold Trade, Najahuddin Fuad Yusoff. – HARAKAHDAILY 9/6/2024