Teruskan boikot barangan syarikat sokong Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tujuan utama Demonstrasi Mahasiswa Tolak Israel pada hari ini adalah untuk menggalakkan lagi aktiviti boikot terhadap apa jua barangan syarikat yang menyokong negara haram Israel.

- Advertisement -

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman berkata, majoriti mahasiswa tidak akan sesekali memberikan sokongan terhadap negara haram tersebut.

“Jadi kami ingin menggesa pihak kerajaan supaya hentikan sokongan terhadap apa jua perkara yang memberi sokongan terhadap rejim Zionis,” katanya ketika memberi ucapan pada demonstrasi di sini, hari ini.

Menurut beliau, rakyat juga kecewa kerajaan dengan cadangan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah dana pelaburan swasta Amerika Syarikat yang dikuasai oleh syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat, BlackRock.

“Saya sebagai Presiden GAMIS bersama-sama mahasiswa dan mahasiswi menggesa kerajaan supaya jangan sesekali mengadakan sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel,” ujarnya.

Katanya, rejim Zionis telah banyak membunuh rakyat Palestin tanpa ada rasa bersalah yang mana majoriti rakyat negara ini tidak boleh menerima apa jua bentuk kezaliman.

“Jadi nasihat kami kepada pihak kerajaan ialah jangan disebabkan mengejar kepentingan ekonomi semata-mata sampai lupa akan nasib yang dilalui oleh rakyat Palestin itu sendiri,” jelasnya.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi dan pekerja bebas, Mytheyar Mutturamalinggam hadir dalam perhimpunan itu. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -