Speaker mesti isytihar kekosongan di enam kerusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sepatutnya tidak mempunyai jalan lain, kecuali menerima kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen BERSATU yang telah terlucut keahlian mereka.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan BERSATU berhubung perkara itu sejelas matahari dan telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

- Advertisement -

“(Peruntukan itu) mengesahkan bahawa enam Ahli Parlimen ini sepatutnya sudah terlucut keahlian daripada BERSATU atau terhenti keahlian sekali gus mengosongkan ataupun terkosongnya enam kerusi Parlimen ini.

“Cuma tinggal lagi notis yang akan dihantar oleh BERSATU kepada Speaker Dewan Rakyat dan nampak atas kertas patut-patutnya tak ada jalan lain dah. Kalau dia menghormati undang-undang, menghormati Perlembagaan.

“Bila dia terima sahaja notis ini selepas dia makan ubi kayu, dia kena isytihar kosong enam Parlimen itu,” tegasnya disulam sindiran sinis pada Ceramah Pasca Sidang DUN Kelantan di Desa Rabbana, Jeli, semalam.

Pun demikian beliau tidak menafikan kemungkinan perjalanan menuju PRK itu masih jauh seandainya berlaku rayuan Ahli Parlimen terbabit ke mahkamah dan sekiranya proses menjangkau lebih tiga tahun, PRK tidak akan berlaku.

Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut sehubungan itu berharap semua penyokong dan pendukung Perikatan Nasional (PN) agar tetap bersedia untuk mengulangi kemenangan yang telah dicapai sebelum ini.

Katanya, sebagaimana PRK Parlimen Kemaman apabila diadakan telah membawakan kemenangan dengan majoriti lebih besar kepada PN, beliau juga berharap perkara sama berlaku di PRK di enam kerusi berkenaan. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -