‘Sampai ke budak kecil sekolah pun hang nak politik?’

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan digesa untuk berhenti berpolitik apabila menghalang Sekolah Rendah Islam (SRITI) Darul Ulum yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam daripada menggunakan padang sekolah kebangsaan bersebelahan.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sebelum ini permohonan penggunaan padang sekolah tersebut bagi membuat latihan sukan untuk kejohanan-kejohanan sukan dibenarkan setiap tahun, namun dihalang pada tahun ini.

“Saya pernah hadir ke sekolah kebangsaan itu melihat (dan) menghantar anak saya yang turut bersekolah di sini. Tapi tahun ni dimaklumkan pihak kementerian tak benarkan sekolah itu dan mana-mana sekolah lain digunakan padangnya oleh mana-mana pelajar Sekolah Rendah Islam (SRITI).

“Saya nak tanya menteri. Kenapa yang hang nak politik sampai ke budak kecil sekolah pun hang nak politik? Depa nak pi masuk sekolah itu nak pi berlatih bola sepak. Nak berlatih sukan kejohanan sukan. Bukan nak pi pacak bendera PAS. Bukan nak pi bawa bendera PN (Perikatan Nasional). Depa nak berlatih sukan,” ujar beliau dalam perkongsian di media sosial miliknya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata SRITI berdaftar dengan Majlis Agama Islam, dan bukannya pertubuhan haram sehingga perlu disekat penggunaan padang sekolah kebangsaan.

“Kenapa dengan politik sampai macam itu sekali? Dahlah sebelum ni kek daripada Ahli Parlimen pembangkang tak bagi masuk sekolah. Tak apa lagilah itu Ahli Parlimen. Ini budak-budak sekolah pun hang nak sekat. Menteri Pendidikan apa macam ini?

“Nak bawa pendidikan pi arus mana? Nak bermusuh, dendam kesumat sampai tak sudah. Cukup-cukuplah berpolitik. Turunlah daripada jawatan menteri itu. Gagal kamu sebagai Menteri Pendidikan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -