Peruntukan MP pembangkang: Takiyuddin akan bertemu TPM

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dijangka akan bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 13 Jun ini berhubung peruntukan Ahli Parlimen (MP) pembangkang.

- Advertisement -

Takiyuddin berkata, beliau akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri itu bagi mewakili ketua pembangkang untuk bertanyakan tentang peruntukan berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS memberitahu, setakat ini, Ahli Parlimen pembangkang tidak diberitahu mengenai peruntukan berkenaan.

“Perjumpaan yang akan diadakan ini adalah bagi mengetahui perkembangan terkini berkaitan hal berkenaan.

“Kita juga difahamkan mereka sudah berbincang sesama mereka (parti kerajaan) mengenai peruntukan Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Takiyuddin memberitahu, sekiranya ada lagi syarat-syarat baru yang dikemukakan, pihaknya ingin tahu dengan jelas berkaitannya untuk dibincangkan bersama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-57 yang dirasmikan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya di Dewan Perniagaan Cina, di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, pembangkang meminta kerajaan melaksanakan apa yang sudah dijanjikan.

“Sebelum ini PN (ketika menjadi kerajaan) tidak pernah berjanji malah tidak ada dalam manifesto mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen PH.

“Bagaimanapun kita mengagihkannya sama rata iaitu sebanyak RM3.5 setahun bagi setiap parlimen,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang sedang dirangka, akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Menruut Fadillah, draf MoU yang sedang dirangka itu, akan diberikan kepada pembangkang untuk dinilai sama ada terdapat keperluan untuk perbincangan lanjut. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -