Pembentangan RUU 355 perlu dipercepat

Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS meminta kerajaan membawa Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dalam persidangan Parlimen dijangka diadakan pada 24 Jun ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan perlu mempercepatkan RUU itu dibentangkan ketika peranan Mahkamah Syariah terus dipermainkan segelintir individu.

Beliau berkata, beberapa insiden seperti kes Indira, Iki Putra dan Nik Elin wajar dijadikan iktibar.

“Sepatutnya kerajaan kena percepatkan bawa RUU 355 yang sudah pun kita siap. Sebab itu sekarang kita mendesak kerajaan Persekutuan membawa RUU ini pada sidang Parlimen pada 24 Jun ini.

“Kalau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dapat bawa, barulah nampak kesungguhan kerajaan kita ini nak memperkasakan institusi Mahkamah Syariah,” katanya pada ceramah isu semasa Pasca Sidang DUN dan Penerangan Kefahaman Pemantapan Perundangan Syariah (KONSIS 2024) bagi Parlimen Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Turut hadir Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Izani Husin; Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Zubir Abu Bakar.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berkata, RUU 355 pernah dibawa oleh PAS pada Mei 2016 oleh Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, rundingan demi rundingan diadakan kerajaan malah pembentangan RUU 355 tidak dapat dilaksanakan, malah usaha itu gagal diteruskan kerana gangguan politik ketika itu.

“Waktu kita jadi kerajaan dalam Perikatan Nasional (PN) RUU 355 sudah mencapai saat akhir tetapi oleh kerana desakan Umno untuk membubarkan parlimen ketika itu ia terhenti,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2024