Nepotisme dalam kerajaan makin membarah?

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mendesak semua pihak untuk tidak meneruskan amalan nepotisme dalam kerajaan.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, ini kerana amalan itu telah membunuh harapan rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan berintegriti.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang berniat untuk meneruskan amalan nepotisme seharusnya mempertimbangkan untuk mengundur diri daripada jawatan yang dipegang.

“Maksud nepotisme ialah suatu perbuatan yang melebihkan dan mengutamakan saudara mara serta rakan-rakan yang ada hubungan dan bukannya menilai keupayaan, meritokrasi atau kesesuaian terhadap pelantikan sesuatu jawatan.

“Perkara ini membuatkan orang biasa yang berkelayakan dinafikan haknya bagi mendapat peluang pekerjaan, pendapatan dan sebagainya,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negara berkata, kontroversi yang melibatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang bagai mengesahkan pendirian kerajaan berhubung isu nepotisme yang sekian lama mereka perjuangkan.

“Mungkin selepas bergabung dengan parti yang sebelum ini memang pernah terpalit isu nepotisme membuatkan pendirian mereka semakin goyah.

“Kontroversi mengenai pemberian tender secara terus kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) di mana Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramachandran Muniandy, merupakan suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor, sudah tentunya mendapat perhatian ramai.

“Perkara ini bagaikan sudah terang lagi bersuluh adalah sebuah isu nepotisme. Walaupun lepas tapisan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) namun persepsi rakyat sudah tidak dapat diubah.

“Sudah tentu rakyat masih ingat bagaimana kerasnya (Perdana Menteri ke-10) Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperjuangkan isu nepotisme ketika masih lagi menjadi pembangkang,” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurutnya, jika dilihat berkenaan isu nepotisme di negara Jepun, Perdana Menterinya, Fumio Kishida telah akur kepada desakan rakyat untuk memecat anaknya Shotaro Kishida dari jabatan Sekretaris Eksekutif Bidang Politik.

“Begitu juga di Korea yang mana Menteri Luar Negeri Korea Selatan, Yu Myung-Hwan, terpaksa mengundurkan diri akibat terpalit isu nepotisme. Dia dituduh memasukkan anak perempuannya sebagai pegawai negeri. Begitulah tegasnya negara luar menangani isu nepotisme supaya tidak berakar dalam Masyarakat,” katanya.

Beliau juga memetik kata-kata Saidina Umar pernah menyatakan ‘Barang siapa yang melantik seorang lelaki menjadi pemimpin disebabkan kerana dia suka kepada lelaki tersebut atau kerana lelaki tersebut adalah ahli kerabatnya, tidak dilantiknya melainkan sebab itu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah Rasul-Nya dan orang mukmin’.

“Ayat ini sesungguhnya menjadi sebuah muhasabah kepada semua pihak untuk menganalisis tindakan masing-masing untuk tidak mengkhianati kepercayaan rakyat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -