MB rakam tahniah Ladang Rakyat terima pengiktirafan 5 bintang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat menerima pengiktirafan Lima Bintang Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Kebangsaan 2023.

- Advertisement -

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata penghargaan itu disampaikan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dalam satu majlis pada 28 Mei lalu.

Beliau berkata, ia merupakan penerusan kepada anugerah dan pengiktirafan yang telah diterima sebelum ini oleh agensi kerajaan negeri tersebut selama tiga tahun berturut-turut bermula 2020.

“Saya mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada perbadanan atas pengiktirafan Lima Bintang Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Kebangsaan ini.

“Ini merupakan penerusan kejayaan sebelum ini seperti pengiktirafan Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi Audit Penyata Kewangan Tahun 2020, 2021 dan 2022 oleh Jabatan Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan amanat Majlis Himpunan Perdana Himpunan Peserta Ladang Rakyat Kelantan dan Pembahagian Dividen Ke 64 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Hilmi Abdullah; Timbalan Exco, Mohd Nasrif Daud dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan, Mohd Arpi Arifin.

Sejak ditubuhkan melalui Enakmen Nombor Dua Tahun 2006 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 dan 21 Februari 2006, perbadanan masih meneruskan bayaran dividen kepada 4,826 peserta.

Mohd Nassuruddin yang juga Pengerusi Ladang Rakyat memaklumkan pihaknya turut berjaya mengurangkan hasil tertunggak daripada syarikat pemaju yang mengusahakan sektor peladangan di negeri ini.

Beliau berkata pihak pemaju membayar hasil tanah kepada kerajaan negeri sebanyak 81 peratus daripada hasil tanah tertunggak dan akan menyelesaikan bakinya 19 peratus dalam tahun ini.

“Saya dimaklumkan jumlah dividen keseluruhan yang telah diagihkan kepada peserta bermula daripada peringkat pertama sehingga peringkat ke-63 lalu adalah sebanyak RM175 juta.

“Manakala jumlah dividen bagi peringkat ke-64 ini pula sebanyak RM4.8 juta termasuk kepada peserta dari kalangan orang asli peserta Ladang Rakyat pada peringkat ke 64,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -