Mana pergi segala janji Manifesto Pakatan Harapan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara kini sedang ditadbir oleh rejim yang menyebabkan masa depan rakyat berada dalam keadaan sangat terancam, demikian kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut beliau, negara kini berada di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memungkiri janji terhadap manifesto dijaja oleh mereka sendiri dalam PRU15 pada November tahun lalu.

- Advertisement -

“Manifesto ni janji-janji Pakatan Harapan ketika berkempen pilihan raya, hampir semuanya tidak ditunaikan! Bahkan tidak ada tanda-tanda untuk ditunaikan! Tak ada petanda nak buat,” bidasnya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Isu Semasa Pasca Sidang DUN Kelantan dan Penerangan Kefahaman Pemantapan Perundangan Syariah – KONSIS 2024 Peringkat Parlimen Jeli di Desa Rabbana, Jeli, semalam.

Beritahunya, perkara-perkara tersebut ada dibangkitkan dalam perbahasan dan pertanyaan pada Sidang Parlimen, namun banyak yang tidak disiarkan oleh media atau akhbar-akhbar utama negara ini.

Sebaliknya kesali beliau, ucapan-ucapan yang dipetik siar oleh media adalah untuk menimbulkan khilaf dan persepsi kononnya Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hanya menyentuh berkaitan 3R dan isu agama semata-mata.

Kupas beliau, antara janji Manifesto Pakatan Harapan adalah mengkaji semula konsesi lebuh raya untuk mengurangkan tol hingga ke peringkat menghapuskan tol dan mengembalikan lebuh raya kepada milik awam.

Namun katanya, sehingga kini pengurangan tidak berlaku, sebaliknya apabila disoal kepada Perdana Menteri, dijawab dengan alasan bahawa hal tersebut hanya dapat dilakukan apabila kewangan negara kukuh.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan kesan kos tol yang ditanggung oleh pihak perdagangan dalam pengangkutan hingga menyebabkan rakyat menerima akibat kenaikan harga barangan keperluan.

Tambah beliau, termasuk dalam Manifesto PH adalah berkenaan perolehan awam yang dijanjikan untuk dilaksana secara tender terbuka, kecuali melibatkan keselamatan seperti perolehan senjata atau aset ketenteraan.

Malah jelasnya, dalam menjamin pelaksanaan tersebut hal berkaitan akan tertakluk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan diketuai anggota daripada blok pembangkang bagi meneliti kontrak tender.

Namun bidas beliau, perkara sebaliknya yang telah terjadi apabila kontrak tender diberikan kepada pihak berkepentingan atau mempunyai hubungan dengan pemimpin PH. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -