Luang masa 10 minit musnah tempat pembiakan nyamuk

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 64,629 kes denggi dilaporkan di peringkat negara sehingga Jun tahun ini  dengan 48 kes kematian.

- Advertisement -

Daripada jumlah itu, sebanyak 942 kes dilaporkan berlaku di negeri Kelantan dengan satu kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata kerjasama seluruh rakyat amat diperlukan untuk meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di sekitar rumah atau premis perniagaan masing-masing.

Beliau turut menyeru masyarakat mengamalkan budaya hidup bersih dan gaya hidup sihat di peringkat ahli keluarga dan komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Surau Taman Desa Satria dan Taman Sri Mahang, Kok Lanas dekat sini, hari ini.

Program sempena Sambutan Hari Denggi Asean 2024 turut dijayakan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, Klinik Kesihatan Kok Lanas, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kok Lanas, Majlis Daerah Ketereh-Perbadaran Islam. Turut memberi kerjasama, KRT Kok Lanas, JPAM, Politeknik, RELA, jawatankuasa surau dan pemimpin setempat.

Beliau berkata, program berkenaan selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan bersih dan ceria.

“Kerana itu program gotong-royong kebersihan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Semoga  rakyat Kelantan sentiasa Bersih, Sihat, Ceria dan Sejahtera,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/6/2024