Kenaikan mendadak cukai taksiran bebankan rakyat

- Advertisement -

GOMBAK: PAS Kawasan Gombak membuat gimik bantahan kenaikan cukai taksiran Kerajaan Negeri Selangor melalui majlis perbandaran dan menggesa supaya ditangguhkan dahulu kenaikan tersebut serta mencari alternatif lain kepada penambahan pendapatan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS kawasan, Dr Firdaus Azim berkata, rakyat Gombak akan menderita dengan kenaikan melampau cukai pintu di antara 25 sehingga menjangkaui 200 peratus yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kenaikan mendadak sebegini akan membebankan rakyat di kala perbelanjaan rutin rakyat meningkat dengan begitu signifikan sejak akhir-akhir ini.

“Walaupun kita memahami bahawa kenaikan cukai ini dilihat penting, Kerajaan Negeri Selangor dan majlis perbandaran perlu mencari alternatif lain kepada penambahan pendapatan.

“PAS Kawasan Gombak bersolidariti bersama rakyat Gombak yang tersepit dengan kenaikan kos sara hidup mendadak dan memohon agar cadangan kenaikan cukai pintu ini ditangguhkan. Rakyat kini terlalu terbeban,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Gimik bantahan kenaikan cukai taksiran itu dibuat selepas Ceramah Isu Semasa sempena Jelajah Selamatkan Malaysia yang membawa tajuk ‘Tatakelola atau Tatakelaut’ di Kompleks PAS DUN Sungai Tua, di sini semalam.

Turut hadir gimik tersebut, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin; Pengarah Jabatan Penerangan PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, kerajaan telah mengumumkan penamatan subsidi diesel dengan pelan subsidi bersasar yang akan menyebabkan sebilangan besar kelompok M40 tidak layak menerima subsidi.

Tambahan laporan tersebut, subsidi diesel sebanyak RM200 sebulan kepada petani dan pekebun kecil hanya akan diberikan kepada yang berjaya menjana nilai hasil jualan tahunan antara RM50,000 ke RM300,000.

Menurut Firdaus, dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2023 menunjukkan penurunan signifikan kuasa beli rakyat iaitu sebanyak 23.3 peratus dalam masa 13 tahun dan kuasa beli makanan adalah pada 72.9 peratus pada tahun 2021 menurun kepada 65.8 peratus pada tahun 2023.

Laporan DOSM bagi bulan April 2024 jelasnya, walaupun dengan kadar inflasi negara kekal pada 1.8 peratus sejak Februari 2024, ada beberapa kenaikan berbanding Mac 2024, antaranya bayaran pembetungan (58.7 peratus), bil air (31.4 peratus) dan bawang merah besar (30.0 peratus).

“Kenaikan kos sara hidup secara serentak dengan penurunan kuasa beli dan penarikan subsidi memberi tekanan yang besar kepada rakyat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -