Kedaulatan raja-raja lantaran taat setia orang Melayu

- Advertisement -

KETAATSETIAAN rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu kepada raja-rajanya adalah suatu ketaatsetiaan luar biasa yang tiada pada mana-mana budaya atau amalan bangsa lain.

Hubungan ini kaya dengan pertalian dan asal-usul sejarah serta peradaban bangsa Melayu itu sendiri selaku warga asal tanah air ini. Kerana itu terlekat sehingga hari ini gelaran “Raja -Raja Melayu” kepada semua keturunan raja-raja termasuk Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Jika di England, status raja mereka dan keturunannya diikat dengan dokumen yang dinamakan “Magna Carta” (1215), yang menggariskan hubungan, status dan kekuasaan Raja England dan kerajaan rakyatnya, Raja-Raja Melayu kita pula halus pembinaan susur-galur peradabannya turun dari mulut ke mulut dan kemudian didokumenkan melalui “waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun” yang mengikat ketaatsetiaan orang-orang Melayu pada rajanya serta janji rajanya pada rakyat Melayu sekaliannya.

Waadat ini diperkukuhkan lagi kemudiannya melalui “Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu” yang ditandatangani Raja-Raja Melayu ketika itu sebaik bersetuju pada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Beratus tahun institusi Raja-Raja Melayu kekal di Malaysia dengan kedaulatannya lantaran taat setia tidak berbelah bahagi orang Melayu yang sentiasa menobat dan memuliakan status dan kelangsungan raja-raja mereka yang telah menyerahkan pengurusan bumi bertuah ini kepada rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Banyaklah yang tercatat mengenai hubungan Raja-Raja Melayu dan rakyatnya sepanjang ratusan tahun lembaran sejarah termasuklah konflik yang segalanya diselesai secara baik kerana teguh dan kayanya adat dan budaya Melayu itu sendiri yang memandu raja dan rakyat.

Kisah tersohor anak Bendahara Melaka, Tun Perak bernama Tun Besar yang mati ditikam Raja Muhammad, putra Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka, walaupun gempar dan memeranjatkan bumi Melaka sehingga ada yang bangkit mahu tuntut bela, segera reda apabila Tun Perak bertegas “Nyah kamu semua, kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah durhaka”

Penyelesaian “menang-menang” iaitu hasil kebijaksanaan Bendahara dan kewarasan Sultan Melaka, telah selamatkan Kerajaan Melayu Melaka dan kekal institusi Raja ke hari ini. Tun Perak memaafkan dan Sultan yang kesal menghalau ke Pahang putranya kerana bersetuju dengan Bendahara bahawa “Akan anak Raja seorang ini janganlah kita pertuan”.

Hari ini orang-orang Melayu kekal membesar dan mempertahankan raja-rajanya kerana menatang bagai minyak yang penuh peradaban bangsa turun temurun ini.

Walaupun bumi nusantara menyaksikan institusi raja-raja digulingkan, tetapi tidak di Tanah Melayu dan sekarang Malaysia kerana kasihnya terutama orang-orang Melayu kepada raja-rajanya.

Kerana itu Institusi Raja-Raja Melayu perlu kekal berdaulat. Raja-raja selaku penaung dan payung agama perlu beramal serta berpegang teguh dan pertahankan kemuliaan Islam didokong oleh umat Melayu seluruhnya.

Sebagaimana rakyat khasnya umat Melayu taat dan tidak pernah mengecewakan raja-rajanya, begitulah diharapkan raja-rajanya juga menyayangi rakyatnya, tidak mengaib, mencedera atau menzaliminya.

Dengan rela hati umat Melayu mengangkat tangan setiap Jumaat mengaminkan doa memelihara raja-rajanya maka begitulah jaga raja-raja Melayu perlu kekal “non partisan” membela dan mempertahankan rakyatnya terutama orang-orang Melayu pada setiap ketika.

Raja-raja tidak berpihak kepada mana-mana rakyatnya dan akan berperanan apabila negara berhadapan konflik dengan waras dan penuh bijaksana.

Raja dan rakyat insya-Allah berpisah tiada kiranya syariat mengikat keduanya sebagaimana dalam “Waadat” dan “Wasiat”, berdaulatlah Raja Melayu diangkat oleh kesetiaan rakyatnya pada setiap saat dan ketika. Daulat Tuanku. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -