‘Two-State Solution’: Apa muslihat di sebalik agenda itu?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyelesaian Dua Negara iaitu kepada kewujudan berasingan Palestin dan Israel hakikatnya tidak ada dalam ideologi atau falsafah pegangan gerakan Zionisme yang memerintah negara haram itu ketika ini.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebaliknya Zionisme berpegang kepada strategi peluasan iaitu perjuangan rejim untuk meluaskan negara Israel.

Beliau menjawab pertanyaan peserta pada Syarahan Perdana ‘Survival Dunia Islam’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini awal minggu ini.

“Sebab itulah dalam akidah Zionisme, negara Israel ini bukan sahaja Palestin. (Tetapi) Merangkumi sebahagian besar daripada negara-negara di Timur Tengah. Sebahagian besar Turki, keseluruhan Iraq, keseluruhan Syria, keseluruhan Jordan, keseluruhan Lubnan.

“Sebahagian besar daripada Mesir. Sebahagian besar daripada Arab Saudi, Yaman, Somalia, Ethiopia, Djibouti, Sudan. Itu semua sekali. Perjuangan mereka untuk sentiasa meluaskan negara haram Israel. Sebab itu mereka menolak ‘Two-State Solution’.

“Cuma kita bercakap dari sudut strategi perjuangan, itu tajuk lain. Dalam perjuangan ni kita perlu ada strategi jangka masa pendek, strategi jangka masa panjang. Dan kita perlu beza antara hadaf (pendekatan) dengan ghayah (matlamat),” ujarnya.

Jelas beliau, ghayah perjuangan umat Islam hanya untuk mewujudkan satu sahaja negara iaitu Palestin, tanpa adanya negara bernama Israel, namun hadaf boleh dibincangkan.

Beliau menerangkan perkara tersebut sebagai menjawab soalan hadirin mengenai penerimaan kalangan pemimpin HAMAS kepada cadangan ‘Two-State Solution’ yang sebenarnya merupakan strategi jangka pendek.

“Syaratnya kena terima sempadan 1967, mesti Baitul Maqdis sebahagian daripada bumi Palestin. HAMAS tahu dah, Israel tak akan terima. Itu kita kena faham. Sebab itu kalau kita nak bercakap tentang prinsip sosial ni kita jangan lupa.

“Yang disebutkan tadi, solution itu berhenti situ itu tak kena. (Sebaliknya kita mahu) Hanya satu saja negara sahaja iaitu Palestin, tak ada negara namanya negara haram Israel. Yang ada ialah Palestin Merdeka.

“Banyak negara iktiraf Palestin baru-baru ini. Ini sebenarnya satu perkembangan yang sangat menarik,” ujarnya dipercayai merujuk kepada Sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dr Ustaz Khalil turut memetik kajian penganalisis politik dunia Islam iaitu Dr Abdullah An Nafisi daripada Kuwait yang menyatakan bahawa sistem ada pada hari ini tertegak kepada beberapa asas.

Iaitu katanya, pertama politik, kedua ekonomi dan ketiga maklumat di mana kekuatan umat Islam cuba dikawal oleh Barat yang tidak mahu negara umat Islam memiliki persenjataan sendiri.

Juga menurutnya, kawalan ke atas galian penting seperti petroleum, termasuk ladang makanan hingga semuanya mesti dibeli daripada Barat, sedang menerusi politik para pelobi Zionis enggan mengiktiraf Palestin.

Pun demikian ujarnya, segala benteng halangan cuba diwujudkan menerusi gabungan para emperialis Barat dengan gerakan Zionisme ke atas dunia Islam khususnya Palestin mulai pecah mutakhir ini.

Israel katanya, cuba dibina di Palestin bertujuan untuk menghalang kebangkitan Islam kerana negara tersebut berada di antara benua Afrika dan Asia, selain banyak negara Islam tidak lagi mengikut telunjuk Barat. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -