‘PH-BN jangan racuni demokrasi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) digesa untuk tidak meracuni demokrasi dengan tindakan yang represif atau bersifat menekan kepada lawan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pilihan raya adalah gelanggang demokrasi, kemuncak pentas kebebasan bersuara. 

- Advertisement -

“Wujudnya Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bebas adalah bukti betapa Malaysia adalah sebuah negara maju yang demokratik dan memberikan kebebasan memilih pada rakyatnya.

“Rakyat bebas memilih wakilnya tanpa ugutan, paksaan atau rasuah dari mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberikan respons tersebut  berikutan cadangan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua platform bagi menangkis berita palsu semasa PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap baru-baru ini.

Sehubungan itu, lebih 60 tahun Malaysia Merdeka dan telah melalui 15 PRU tanpa apa-apa insiden negatif tidak seperti negara lain.

“Bermakna undang-undang dan peraturan yang ada sudah cukup kemas dan efektif. Janganlah cemari rekod baik kita dengan tindakan yang autokratik.

“Sedangkan yang berkuasa hari inilah suatu ketika dahulu taksub melaung dan memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil tapi kini dah berkuasa bagaikan gelabah menghadapi suara rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -