Penarik beca Bandar Hilir tular: Antara dua VTT

- Advertisement -

AYER KEROH: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin tampil menjawab persoalan mengenai Video TikTok (VTT) beliau berbanding VTT Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang tular berkaitan seorang penarik beca di Bandar Hilir.

- Advertisement -

VTT Bakri berkaitan satu temubualnya dengan seorang penarik beca yang meluahkan kesukaran dihadapi akibat penutupan jalan ‘car free zone’ di Bandar Hilir sehingga menjejaskan pendapatannya.

“Ada rakan media sosial bertanya saya, yang mana betul apabila membandingkan VTT saya dan VTT YAB KM Melaka? Saya jawab kedua-duanya betul kerana dibuat pada dua situasi berbeza dan orang yang berbeza iaitu saya dan YAB Ketua Menteri Melaka.

“Tentulah ada sedikit perbezaan. Dari segi jawapan dan keluhan penarik beca susah itu benar, membayar sewa rumah juga benar dan ibunya sakit juga benar, maka YAB KM mengarahkan pegawainya membantu pakcik beca,” katanya.

Ab Rauf dalam satu VTT beliau baru-baru ini turut menampilkan pertemuan beliau dengan penarik beca yang sama ditemui Bakri sebelum itu di mana Ketua Menteri Melaka itu juga telah memberikan individu tersebut bantuan.

Tambah Bakri, sebagai anak jati Melaka, pihaknya tetap mendukung segala aspirasi dan program pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan Melaka demi meningkatkan pendapatan negeri dan rakyat serta kesejahteraan masyarakat.

“Pun begitu sebagai wakil rakyat, kami merasa terpanggil apabila menerima beberapa aduan dan keluhan daripada peniaga-peniaga dan penarik beca di sekitar ‘car free zone’.

“Menurut informasi yang keluar dari mulut mereka, perniagaan mereka terjejas teruk apabila sekatan jalan dibuat setiap Jumaat pagi hingga 12 malam hari Ahad, di luar musim cuti sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya semalam.

Jelas Bakri, beliau bersama beberapa rakan lain termasuk pimpinan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah turun padang pada hari Sabtu petang baru-baru ini dari jam 3:00 petang hingga 7:00 malam.

Tambahnya, mereka telah berjalan kaki dari tempat letak kereta berdepan Public Bank hingga ke Dataran Pahlawan bagi menemu bual peniaga-peniaga dan mendapatkan maklum balas mereka.

“Ternyata keluhan mereka hampir sama, bahawa perniagaan mereka merosot dan berlaku kesesakan jalan menghala keluar dari Car Free Zone itu. Ada di antara mereka yang telah berniaga belasan dan puluhan tahun di situ.

“Hal ini sudah menjadi ‘rahsia umum’ bahkan ianya banyak diperkatakan oleh pengunjung-pengunjung tempatan dan ulasan-ulasan di media sosial,” kata beliau.

Katanya, dalam tinjauan tersebut terdapat tiga perkara yang diminta oleh peniaga untuk dipertimbangkan pihak kerajaan iaitu pertama, agar sekatan jalan tidak dilakukan pada waktu dan hari berkenaan.

Kedua menurut Bakri, peniaga tidak membantah sekiranya penutupan jalan dibuat dari jam 6 petang hingga 12 malam sementara ketiga, kerajaan perlu memperbanyakkan tempat letak kereta di mana parkir bertingkat adalah solusi terbaik.

“Hasrat Kerajaan Melaka untuk membangunkan dan mempertingkatkan industri pelancongan di Melaka sangat dipuji, tetapi dalam masa yang sama harus juga melihat dan mendengar keluhan rakyat marhean yang mencari rezeki di sekitar kawasan tersebut.

“Untuk berlaku adil, Kerajaan Melaka boleh melantik pihak ketiga untuk membuat satu kajian bebas bagi mendapatkan maklumat tepat dari peniaga-peniaga dan penarik beca,” ujarnya.

Tambah Bakri, sebagai seorang yang pernah terlibat dalam sektor korporat beliau yakin dengan prinsip ‘keputusan tepat hanya boleh dibuat dengan data yang tepat’.

Beliau dalam hantarannya itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka yang telah mengambil tindakan pantas membantu pakcik beca yang muncul dalam video TikToknya.

“Terima kasih atas sikap prihatin YAB KM Melaka terhadap pakcik beca dan menerima memorandum dari peniaga melalui rakan-rakan NGO dan rakan PN Melaka.

“Semoga ada jalan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak yakni kerajaan dan peniaga secara menang-menang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -