Pelaksanaan DLP: KPM perlu tegas, tidak dilihat ‘flip flop’

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KUAL LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah tegas dan jelas supaya tidak dilihat flip flop atau tunduk pada mana-mana pihak berhubung pelaksanaan Dual Language Programme (DLP).

- Advertisement -

Sehubungan itu, Lajnah Pendidikan PAS memandang serius terhadap bantahan pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) oleh Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang, berdasarkan garis panduan pelaksanaan DLP seperti yang termaktub Pekeliling bil.5/2024, KPM.

“Lajnah berpendirian bahawa semua pihak sewajarnya berusaha untuk memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di dalam setiap displin pengajian, tanpa meminggirkan keperluan pemakaian Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda dalam beberapa bidang pengajian,” ujar pengerusinya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya penggunaan Bahasa Melayu dalam semua instrumen pengajian berupaya membenihkan jati diri bangsa selaras dengan slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ yang sering dilaung-laungkan.

Perlu diingatkan, tegasnya bahawa bahasalah pengikat bangsa dan menjadi simbol perpaduan bangsa.

“Justeru dalam isu berkaitan, KPM hendaklah tegas dan jelas supaya kementerian tidak dilihat ‘flip flop’ atau tunduk pada mana-mana pihak dengan tindakan remeh sesetengah pihak dalam isu ini,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan.

Tambahnya, pihak Lajnah juga berpandangan bahawa sudah tiba masanya isu pemakaian Bahasa Melayu di sekolah vernakular diwacanakan secara ilmiah selaras dengan seksyen 17, Akta Pendidikan.

“Jika resolusinya memerlukan kepada pindaan seksyen berkenaan, apa salahnya diteruskan agar ia seiring dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan?” ujarnya lagi.

Pada Rabu lalu, Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Dilaporkan, sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Mereka juga menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -