‘Kerajaan Madani kekang suara isu kepentingan awam’

Protes senyap ‘Madani Bisukan Rakyat Malaysia’ di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada petang tadi, 7 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Haziq Aiman)
- Advertisement -

CYBERJAYA: “Setakat ini, tiada penjelasan tindakan itu diambil berdasarkan undang-undang mana satu? Usaha untuk bertemu dengan pihak TikTok Malaysia turut menemui jalan buntu.”

Itu penegasan pihak penganjur mengenai protes senyap ‘Madani Bisukan Rakyat Malaysia’ yang  diadakan di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada petang tadi, di sini.

- Advertisement -

Menurut kenyataan penganjur, tujuan demonstrasi berkenaan diadakan adalah kerana terdapat banyak akaun media sosial seperti Facebook dan TikTok para aktivis dan pempengaruh yang telah disekat atau dikekang kandungannya kerana menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan awam.

“Banyak hantaran berbentuk video dan catatan yang mengkritik kerajaan telah dikekang dari diakses di Malaysia. 

“Tambahan pula, banyak akaun dari kalangan mereka yang aktif bersuara turut dikekang dari diakses di Malaysia,” katanya.

Kebanyakan mereka yang hadir dalam demonstrasi berkenaan adalah pempengaruh-pempengaruh media sosial seperti YB Viral atau nama sebenarnya Aidil Yunus; DD Chronicle dan mantan penyanyi terkenal, Dayangku Intan. 

Turut serta ialah peguam dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali, serta Ustaz Zubir Embong juga merupakan seorang peguam.

Tambah pihak penganjur, sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2023, sebanyak 43 permintaan untuk mengekang akaun telah dikeluarkan oleh kerajaan, dengan 28 telah dikekang berdasarkan garis panduan komuniti TikTok, empat telah dikekang berpandukan undang-undang negara dan 11 tidak diambil tindakan.

“Sementara itu, 847 permintaan untuk mengekang kandungan telah dikeluarkan, dengan 373 telah dikekang berdasarkan garis panduan komuniti TikTok, 410 telah dikekang berdasarkan undang-undang negara dan 64 tidak diambil tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -