Kedah komited jamin ketersediaan bekalan air di Langkawi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) komited menangani masalah bekalan air di Pulau Langkawi dengan tindakan komprehensif yang sedang giat dilaksanakan.

- Advertisement -

Pemulihan perkhidmatan di pulau tersebut bahkan termasuk dalam perancangan projek infrastruktur bekalan air yang merangkumi pelan bagi 30 tahun akan datang untuk seluruh negeri Kedah.

Intensif terkini yang akan dilaksanakan termasuk menangani kehilangan air tidak berhasil (NRW) disebabkan masalah kebocoran paip dasar laut yang membekalkan air terawat dari tanah besar ke pulau tersebut.

Menteri Besar, Dato’  Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, terdapat 23 kebocoran di jajaran paip dasar laut sepanjang 36 kilometer itu yang mengakibatkan berlakunya pembaziran bekalan air terawat.

Sehubungan itu katanya, pendakap khas yang kukuh dan panjang diimport dari Jerman akan diguna bagi mengatasi masalah tersebut sebagaimana pandangan disyorkan oleh pakar paip dasar laut.

Pengerusi SADA itu juga menyatakan, penggunaan pendakap khas tersebut juga dapat mengelakkan pihaknga bakal menghadapan dengan perbelanjaan lebih besar sekiranya paip berkenaan diganti.

Menurutnya, pendakap khas itu bukan sahaja boleh mengatasi masalah kebocoran, tetapi mampu bertahan dari arus deras serta tidak bergegar atau beralih dari kedudukan apabila bot laju lalu di atasnya.

Sebelum ini dilaporkan, SADA terpaksa mengeluarkan kos pembaikan tinggi disebabkan kekerapan kebocoran yang berlaku, tetapi dengan projek tersebut ia dijangka menyelesaikan isu itu pada Januari 2025.

Pemulihan tersebut selari dengan keperluan dan peranan Langkawi sebagai pintu masuk utama Tahun Melawat Kedah 2025, serta situasi penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah yang berlaku.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Selasa memberi peringatan, Empangan Malut yang menjadi sumber air mentah bagi pulau itu berada di paras bahaya diakibatkan cuaca panas ketika ini.

Terdahulu Sanusi turut mengumumkan keputusan kepada penyelesaian masalah bekalan air domestik di pulau pelancongan tersebut yang akan dilaksanakan menerusi pembinaan empangan bawah tanah.

Jelas beliau, inisiatif tersebut dicadangkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang telah membuat kajian intensif kepada penyelesaian itu.

Dalam perkembangan yang sama, masalah bekalan air bersih pulau itu khususnya di Padang Matsirat juga dijangka akan selesai dalam tempoh terdekat apabila empat unit pam baharu siap diuji untuk beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, ia meningkatkan keupayaan penghantaran air ke lokasi sekitar.

Menurutnya, projek-projek yang sedang berjalan, dilaksanakan sebaik mungkin dengan turut mengambil kira pertambahan pembangunan serta jumlah akaun baharu di masa akan datang.

Kongsinya, projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang sedang dan akan dilaksanakan di Pulau Langkawi itu adalah melalui beberapa sumber pembiayaan kepada negeri Kedah.

Jelas beliau, ia termasuk peruntukan secara pinjaman daripada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) serta pinjaman dan geran daripada Bahagian Bekalan Air (BBA) Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA).

Katanya, kerajaan negeri menerusi SADA komited dalam menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang bagi memastikan ketersediaan bekalan air terawat di Pulau Langkawi dapat dikekalkan. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -