Houthi Yaman, IR Iraq bergabung serang Zionis Israel

Serangan dilakukan Houthi Yaman terhadap kepentingan Israel adalah sebagai tindak balas terhadap kekejaman Zionis di Semenanjung Gaza. (FOTO: Arab News)
- Advertisement -

AL-MUKALLA: Pejuang Islam Houthi Yaman telah melancarkan serangan pertamanya pada pagi Khamis terhadap Zionis Israel dengan bantuan pasukan Penentangan Islam (IR) yang berpangkalan di Iraq.

Pemimpin Houthi, Abdul Malik Al-Houthi berkata, serangan yang dilakukan itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilakukan oleh Israel di wilayah semenanjung Gaza, Palestin. 

- Advertisement -

“Hari ini pada waktu subuh, pasukan tentera kita memulakan operasi yang diselaraskan bersama pihak IR di Iraq dengan menjalankan operasi penting ke arah pelabuhan Haifa.

“Kami telah menembak 91 peluru berpandu balistik dan dron dalam 38 operasi terhadap kapal di Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi dan Mediterranean sepanjang 30 hari lalu,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di televisyen Yaman, lapor Arab News.

Beliau juga menegaskan bahawa tenteranya telah membangunkan peluru berpandu balistik jarak jauh yang mampu mengelak radar dan mencapai sejauh Israel. 

Al-Houthi juga berkata, pihaknya juga telah menembak tujuh peluru berpandu balistik dan empat dron ke kapal pengangkut pesawat USS Eisenhower milik Amerika Syarikat, menyebabkan ia mengubah kedudukannya ke utara Laut Merah untuk mengelakkan serangan lanjut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa hari selepas jurucakap Angkatan Bersenjata Yaman, Yahya Sarea memaklumkan bahawa tenteranya bersama dengan pihak IR telah melancarkan dua serangan dron terhadap kapal di pelabuhan Haifa sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Israel di Rafah, selatan Gaza. 

“Angkatan Bersenjata Yaman menjalankan dua operasi ketenteraan yang diselaraskan dengan pasukan Penentangan Islam  Iraq, yang pertama telah menyasarkan dua kapal yang membawa peralatan ketenteraan di pelabuhan Haifa.

“Serangan kedua menyasarkan sebuah kapal yang telah melanggar sekatan perjalanan mereka ke pelabuhan yang sama,” katanya. 

Pihak Houthi menyatakan bahawa operasi mereka hanya terhad kepada menyasarkan kapal-kapal yang berkaitan atau belayar ke Israel untuk memaksa Zionis Israel menamatkan perangnya di Gaza. – Agensi/HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -