Penonton bola sepak ditahan tak berdiri

Perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2026 antara Hong Kong dan Iran di Stadium Hong Kong pada malam tadi, 6 Jun 2024. (FOTO: AFC)
- Advertisement -

HONG KONG: Tiga individu ditahan selepas didapati tidak berdiri dan telah membelakangkan badan sewaktu lagu kebangsaan China dimainkan ketika perlawanan bola sepak antara Hong Kong dan Iran semalam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak polis memaklumkan bahawa dua lelaki dan seorang wanita telah ditahan disebabkan perbuatan mereka itu sewaktu perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Hong Kong bermula, yang menyaksikan Hong Kong tewas 4-2 kepada negara timur tengah itu. 

- Advertisement -

“Polis menekankan bahawa sesiapa yang secara terbuka dan secara sengaja menghina lagu kebangsaan dalam apa jua cara sekalipun dianggap jenayah,” katanya menerusi kenyataan itu lagi. 

Tambah pihak polis, tiga individu yang ditahan itu berumur antara 18 hingga 31 tahun dan jika didapati bersalah, akan dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak HK$50,000 (RM30,000).

Sebelum ini, peminat bola sepak di Hong Kong pernah mengecam lagu kebangsaan berkenaan sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap situasi politik di wilayah itu. 

Namun, pihak kerajaan pada 2020 telah melarang amalan itu sebagai sebahagian daripada tindakan keras yang lebih meluas berikutan protes besar yang berlaku di bandar tersebut. 

Hong Kong ialah wilayah pentadbiran khas China tetapi bersaing atas namanya sendiri dalam kebanyakan sukan peringkat antarabangsa termasuk bola sepak.

Ketika kemelut politik 2010 berlaku, wilayah Hong Kong menjadi tempat kebanggaan sivik dan sentimen anti-kerajaan.

Tidak lama selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh ke atas Hong Kong pada 2020, wilayah yang dianggap sebagai hab kewangan itu meluluskan undang-undang tempatan berasingan yang menganggap penghinaan terhadap lagu kebangsaan sebagai jenayah. – Agensi-HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -