Tambah anggota penguatkuasa agama wanita

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri merancang menambah jumlah anggota penguatkuasa agama wanita di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi melancarkan proses tangkapan orang yang disyaki membabitkan wanita.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, jumlah anggota penguatkuasa wanita sekarang seramai 12 orang.

Malah katanya, masih ada di peringkat jajahan belum ada anggota penguatkuasa wanita.

“Banyak perkara boleh selesai dengan adanya anggota penguatkuasa wanita terutamanya dari segi tangkapan melibatkan orang disyaki wanita.

“Memang penting anggota penguatkuasa wanita kalau melibatkan orang disyaki terbabit wanita. Antaranya melibatkan pemeriksaan badan, mengambil rakaman dan memastikan keselamatan orang disyaki.

“Orang disyaki juga perlu dipastikan berpakaian sopan. Jadi ini penting ada anggota penguatkuasa agama wanita di peringkat jajahan,” katanya ketika menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) pada sidang DUN, hari ini.

Menurutnya juga jumlah anggota penguatkuasa 74 orang tidak sepadan dengan jumlah penduduk Kelantan sekarang 1.9 juta.

Kata beliau, jumlah anggota penguatkuasa di pejabat JAHEAIK seramai 29 orang temasuk pemandu, manakala di Jajahan Kecil Lojing belum lagi ada anggota penguatkuasa.

Mohd Asri juga berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf Bahagian Penguatkuasa kepada Jabatan Penguatkuasa selaras hasrat mahu melaksanakan perundangan Islam di Kelantan.

Menjawab soalan tambahan Dato’ Abdul Hadi Kechik (PAS-Kuala Balah) katanya, usaha menaik taraf bahagian penguatkuasa kepada jabatan akan memberi banyak impak positif.

“Antaranya dari sudut kualiti anggota bagi menguatkuasakan peraturan, selain itu operasi mengenakan kompaun dalam kes tertentu dan denda di Mahkamah Syariah.

“Begitu juga dari segi pemantauan dan tangkapan, dan dapat mengawal gejala sosial. Kelantan akan menjadi negeri pertama melaksanakan perundangan syariah selepas diwujudkan Jabatan Penguatkuasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -