Subsidi diesel: Kesan domino kepada harga barang?

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: Dahulu pihak kerajaan sekarang yang melaungkan ‘kembalikan subsidi, turunkan harga minyak’ tetapi hari ini mereka sendiri yang melakukan tindak tanduk yang tersasar daripada apa yang dilaungkan.

- Advertisement -

Justeru, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar meluahkan keraguan terhadap langkah kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi diesel yang dikatakan akan memastikan kebajikan rakyat terbela.

Menurutnya, beliau agak sedikit ragu-ragu dengan kaedah penyasaran subsidi diesel tidak memberi kesan domino kepada kenaikan harga barang kerana ia merupakan bahan api penting yang digunakan dalam sektor logistik dan pengangkutan.

“Ini jelas akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang sementelah sektor logistik dan pengangkutan juga baru sahaja dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau juga pelik dengan tindakan kerajaan seolah-olah tidak memikirkan kesan daripada pelaksanaan perkara itu terhadap kos sara hidup rakyat.  

“Adakah kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini tiada formula yang utuh untuk membantu rakyat dan merasakan ketirisan pelaksanaan subsidi hanya dapat diselesaikan dengan kaedah penyasaran subsidi semata-mata.

“Saya juga ingin bertanya kepada pihak kerajaan adakah ini masa yang paling sesuai untuk dilaksanakan penyasaran subsidi diesel ini sementalah kerajaan baru sahaja menguatkuasakan SST kepada sektor pengangkutan dan logistik yang semestinya akan meningkatkan kos sekali gus memberi kesan langsung kepada harga barang?

“Sebagai rakyat marhaen saya agak kecewa dengan tindakan kerajaan yang agak drastik ini tanpa membuat pertimbangan yang sewajarnya akan kesan tindakan ini kepada kos sara hidup rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -