RUU Kawalan Hiburan baharu kadar denda RM50,000

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggubal Rang Undang-undang (RUU) Hiburan dan Kawalan Hiburan baharu bagi menggantikan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 1998.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu dilaksanakan jawatankuasa khas mengkaji pelaksanaan enakmen tersebut.

Katanya, draf mengenainya sudah diangkat untuk pertimbangan kerajaan negeri dan disahkan pada 15 Mei lepas sebelum dibahas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Kita membuat keputusan mengubal RUU Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 yang dijangka dibentangkan dalam sidang DUN akan datang,” katanya menjawab soalan Norsham Sulaiman (PAS-Semerak) pada sidang DUN, hari ini.

Ketika ditanya Zameri Mat Awang (PAS-Jelawat) mengenai perubahan dalam RUU itu, Dr Mohamed Fadzli berkata, beberapa pembaharuan dibuat antaranya kadar denda daripada RM20,000 kepada RM50,000.

Selain itu, permohonan lesen boleh dipohon melalui online dan menyekat hiburan berunsur fahaman songsang serta memupuk perpecahan dalam kalangan masyarakat majmuk di Kelantan.

“Penambahbaikan yang dipertimbangkan termasuk mewujudkan kesalahan baharu antaranya larangan terhadap aktiviti hiburan mengandungi unsur bercanggah akhlak.

“Termasuk juga tindakan terhadap penonton yang berjoget, perlanggaran tatasusila dan moral serta menambah kuasa pihak penguatkuasaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -