Pusat Halal KIAS dapat pengiktirafan JAKIM

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mewujudkan Pusat Halal bagi meningkatkan kesedaran halal dalam masyarakat di Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Pusat Halal KIAS mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menyerah sijil pengiktirafan tersebut kepada Rektor KIAS, Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin pada 30 Mei lepas.

“KIAS Halal Centre sebagai pusat latihan halal di Kelantan akan berperanan membantu kesedaran halal kepada masyarakat,” katanya menjawab soalan tambahan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) pada sidang DUN hari ini.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan memperluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

Kata beliau, Maahad Tahfiz Al Quran Darul Saadah diperkenalkan program TVET terbukti berjaya melahirkan pelajar cemerlang.

“Biarpun pelajar sekolah terbabit belajar 25 subjek dan ditambah pula dengan hafalan al Quran serta mengikuti program TVET namun masih cemerlang dalam peperiksaan SPM baru-baru ini,” katanya.

Pada SPM 2023, sekolah terbabit memperoleh GPS 1.98 peratus diikuti Maahad Sains Tok Guru (GPS 2.27) dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (GPS 2.63).

Oleh itu, kata Wan Roslan kerajaan negeri merancang memperluaskan lagi TVET di di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menyediakan asas latihan kemahiran kepada pelajar.

Menurutnya, pelajar lepasan TVET mempunyai sijil kemahiran yang boleh membantu mereka menjana pendapatan selepas menamatkan pengajian kelak. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -