PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai depan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang, ditetapkan pada 6 Julai depan, manakala tarikh penamaan calon adalah pada 22 Jun dan pengundian awal pada 2 Julai.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Dr Azmi Shahrom mengumumkan perkara tersebut pada sidang media di Ibu Pejabat SPR, di sini hari ini.

- Advertisement -

“Tempoh berkempen, ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon-calon pada 22 Jun sehingga jam 11:59 malam, 5 Julai,” kata beliau bagi PRK yang diadakan berikutan kematian ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 lalu, meraih 15,433 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Beliau disahkan meninggal dunia selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat komplikasi di bahagian perut selepas menerima rawatan awal di Hospital Sungai Bakap pada 1 Mei.

Pada PRN lalu, DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PN dan PH dengan komposisi pengundi membabitkan 59.4 peratus (Melayu) 22.5 peratus (Cina), 17.4 peratus (India) dan 0.7 peratus lain-lain kaum. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -