PN menjaga hubungan baik Malaysia-Rusia

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menjaga hubungan baik antara Malaysia dengan Rusia dalam apa jua keadaan.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau telah selamat tiba di pusat budaya dan kerohanian Rusia, Saint Petersburg bagi menghadiri dan menyertai Persidangan Ekonomi Antarabangsa Saint Petersburg (SPIEF 2024) sebagai wakil negara ini. 

- Advertisement -

“Persidangan ini akan dirasmikan sendiri oleh Presiden Vladimir Putin pada Jumaat ini,” katanya.

Menurut beliau, SPIEF 2024 merupakan satu sidang ekonomi yang amat penting bukan sahaja bagi negara Rusia tetapi juga terhadap blok ekonomi Eurasia, BRICS dan mana-mana negara yang berusaha mewujudkan dunia multipolar.

Beliau menyatakan, persidangan tersebut diberi jolokan sebagai “Eurasian Davos” kerana akan dihadiri seramai lebih 17,000 peserta dari 136 buah negara.

“Saya dijemput untuk menjadi pembentang dalam dua sesi yang mana satu daripadanya ialah sesi Dialog Perniagaan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU)-ASEAN”. 

“Dalam dialog tersebut, saya akan berkongsi pentas bersama-sama barisan panelis berwibawa khususnya Sergey Glazyev, mantan penasihat kepada Presiden Putin yang kini merupakan Menteri yang bertanggungjawab menjayakan misi integrasi ekonomi Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

“Selain itu saya juga dijemput menjadi pembentang ialah ‘Hubungan Perniagaan antara ASEAN dan BRICS’ dalam sesi Sidang Belia dan Ekonomi dalam SPIEF 2024.

”Doakan saya dikurniakan ilham dan kepetehan dalam berhujah untuk meletakkan nama Malaysia ke peringkat yang terbaik dalam pentas antarabangsa ini,” jelasnya.

Beliau menyatakan tiada satu wakil daripada kerajaan Pusat yang hadir ke persidangan ini yang mana walaupun telah dijemput tetapi sebarang maklum balas tidak diberikan terhadap negara tersebut.

Kata beliau lagi, Malaysia adalah negara yang bebas menjalin hubungan dengan semua pihak seperti yang pernah dibuat dan diamalkan oleh pemimpin-pemimpin sebelum ini.

“Maka, PN/BERSATU akan terus menjaga hubungan baik antara Malaysia-Russia dalam dalam semua keadaan

“Ini kerana kita adalah negara berdaulat dan bebas menjalin hubungan dengan semua pihak seperti yang pernah dibuat dan diamalkan oleh pemimpin negara terdahulu seperti Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Datuk Hussein dan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad antara Kremlin-Kuala Lumpur,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2024

- Advertisement -