KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa Malaysia supaya menarik diri daripada menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024.
Presiden GAMIS, Imran Sulaiman berkata, ia sebagai membantah penyertaan Israel dalam acara berkenaan kerana rejim Zionis terpalit dengan jenayah perang dan genosid terhadap Palestin.
“Selain itu, ia sebagai isyarat kepada dunia bahawa Malaysia kekal utuh dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Imran berkata, kerajaan perlu mengambil pendirian yang tegas dalam menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin agar dapat memberikan tekanan terhadap rejim Tel Aviv yang semakin melampau dan bersikap kebinatangan.
“Tuntasnya, pembelaan maruah dan nasib umat Islam di Palestin lebih penting berbanding penyertaan negara dalam RIMPAC yang seolah-olah mengiktiraf tindakan biadap rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
“Pendirian kita pada waktu ini mecerminkan ketulusan kita dalam pembebasan bumi Palestin yang merdeka dan berdaulat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, RIMPAC 2024 merupakan eksesais maritim terbesar dunia yang diadakan dua tahun sekali di Hawaii dan Amerika Syarikat.
Tentera Laut Israel mula menyertai latihan Rimpac pada 2018 tetapi masih belum menghantar kapalnya untuk menyertai latihan itu.
RIMPAC 2024 akan diadakan bermula 26 Jun hingga 2 Ogos, melibatkan 29 negara, 40 kapal, tiga kapal selam, 14 pasukan tentera darat, lebih 150 pesawat dan lebih 25,000 anggota.
Dalam pada itu, Tentera Laut Darat Malaysia (TLDM) turut memaklumkan bahawa Kapal Diraja (KD) Lekiu telah meninggalkan pangkalannya di Lumut untuk menyertai RIMPAC 2024.
Pelayaran yang berlangsung hampir 100 hari dan meliputi 12,730 batu nautika (23,576 kilometer) itu bakal menyaksikan KD Lekir mengambil bahagian dalam pelbagai latihan termasuk melepaskan peluru berpandu secara langsung terhadap kapal sasaran. – HARAKAHDAILY 6/6/2024